AM

Gempa Bumi Segamat: Penduduk Cemas Alami Gegaran Awal Pagi

24/08/2025 10:48 AM

JOHOR BAHRU, 24 Ogos (Bernama) -- Gegaran gempa bumi berukuran 4.1 yang melanda Segamat awal pagi tadi mencetuskan suasana cemas dalam kalangan penduduk, khususnya mereka yang sedang bersiap memulakan rutin harian.

Kakitangan swasta Nur Hafiz Mukmin, 32, berkata beliau terkejut apabila rumahnya di Jalan Tasek Alai tiba-tiba bergoyang sekitar 6.13 pagi, ketika sedang bersiap ke tempat kerja.

“Pada mulanya saya sangka struktur rumah hendak runtuh. Saya sangat cemas lalu bergegas mengejut anak dan memaklumkan isteri untuk segera keluar rumah. Namun, sebaik di luar, jiran memaklumkan ia mungkin kejadian gempa bumi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nur Hafiz berkata keadaan kembali tenang selepas beberapa saat, namun anaknya masih ketakutan untuk masuk semula ke rumah berikutan pengalaman tersebut.

Suri rumah Normala Mohamed, 66, yang menetap di Kampung Jabi pula berkata beliau merasai gegaran ketika sedang menunaikan solat Subuh apabila cermin di rumahnya bergegar dengan kuat.

“Saya terus bergegas ke dapur kerana bimbang berlaku sesuatu. Mujur rumah tidak mengalami sebarang kerosakan namun gegaran pagi tadi memang luar jangka,” katanya sambil menambah gegaran itu hanya sekejap tetapi benar-benar dirasai.

Sementara itu, peniaga nasi lemak Siti Rubiah Yasin, 52, berkata gegaran berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan rutin niaganya pagi ini.

“Semasa kejadian, saya dan suami berada di dapur apabila beberapa lauk yang diletakkan di atas meja kayu depan rumah jatuh, termasuk sambal kerang. Kami terpaksa mengemas terlebih dahulu sebelum keluar menjual nasi lemak pada jam 8 pagi,” katanya yang tinggal di sekitar Batu Anam.

Beliau berkata walaupun sedih kerana sebahagian lauk yang disediakan membazir, beliau reda dan bersyukur tiada kemalangan jiwa atau kerosakan serius berlaku.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menasihati orang ramai agar menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa susulan gempa bumi lemah yang dikesan berlaku pada 6.13 pagi itu.

Beliau berkata selepas berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi, beliau dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan