KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd menyambut baik dapatan serta cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pelaburan sebelum ini dalam FashionValet serta pendekatan Khazanah secara lebih luas terhadap pelaburan modal teroka (VC) domestik, selaras dengan mandat dan misinya dalam memajukan Malaysia.
Menurut Khazanah, dalam sesi bersama PAC itu pihaknya juga mengambil peluang menjelaskan strategi VC domestiknya termasuk sifat pelaburan yang berisiko tinggi seperti FashionValet.
“Selain itu, kami turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai rangka kerja tadbir urus pelaburan kami secara keseluruhan, yang merangkumi pendekatan kelulusan pelbagai peringkat serta semakan risiko dan urus niaga secara bebas,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khazanah seperti yang dinyatakan oleh PAC, strategi perniagaan FashionValet telah terkesan akibat kejutan luaran yang tidak dijangka, khususnya strategi semua saluran, selain daripada pandemik COVID-19 dan perubahan dalam tingkah laku pengguna.
“Bagaimanapun, kami mengakui penilaian PAC serta pengajaran yang diperoleh, termasuk syor untuk mempertingkatkan komunikasi awam mengenai strategi VC Khazanah, sifat berisikonya, serta peranan kami dalam memacu inovasi,” tambahnya.
Khazanah merakamkan penghargaan kepada kesemua ahli PAC atas pengiktirafan terhadap ketegasan proses dalamannya, yang memastikan keputusan pelaburan dibuat selaras dengan piawaian tadbir urus tertinggi.
Khazanah kekal komited dalam menyokong ekosistem keusahawanan dan VC negara, jelasnya.
“Walaupun pelaburan VC secara asasnya berisiko tinggi, ia amat penting bagi merangsang inovasi, memupuk syarikat pemula niaga dan seterusnya mengukuhkan daya saing jangka panjang negara.
“Memandangkan sifat pelaburan VC yang berisiko, penilaian kejayaan sesuatu program pelaburan VC memerlukan pendekatan berasaskan portfolio, bukan hanya melihat kepada pelaburan secara individu,” menurut Khazanah.
Khazanah menjelaskan, berkenaan dengan proses dalaman, pihaknya menghargai panduan daripada PAC dan menyambut baik peluang untuk terus menambah baik serta memperkukuh proses yang sedia ada.
“Antaranya, Khazanah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Portfolio (PMC) setiap bulan bagi meneliti perkara termasuk pengurusan risiko, kemas kini syarikat dalam portfolio, serta ulasan penilaian terhadap semua pelaburan kami, selain mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan (IC) secara tetap,” menurutnya.
Khazanah mengulangi bahawa pihaknya akan terus berusaha mengimbangi disiplin kewangan dengan objektif pembangunan negara, berpandukan tadbir urus yang kukuh serta akauntabiliti yang jelas.
“Pendekatan ini akan memastikan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan, di samping memberi sumbangan positif kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia,” tambah Khazanah.
Pada 2018, Khazanah melabur RM27 juta menerusi pegangan minoriti dalam FashionValet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial