EKONOMI

Malaysia Raih Pelaburan Diluluskan RM190.3 Bilion Separuh Pertama 2025, Naik 18.7 Peratus Tahun Ke Tahun

22/08/2025 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia meraih pelaburan diluluskan sebanyak RM190.3 bilion pada separuh pertama 2025, peningkatan 18.7 peratus tahun ke tahun, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata pertumbuhan pelaburan yang diluluskan ini memaparkan kepercayaan berterusan pelabur asing dan domestik terhadap dasar Malaysia yang jelas dan agenda pembaharuan industri jangka panjang.

"Ini telah menyumbang kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh, yang bertahan dalam keadaan persekitaran global yang mencabar.

"Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA sedang bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan komitmen pelaburan ini dilaksanakan dengan pantas untuk memberikan hasil yang bermakna," katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA berkata sebanyak 3,011 projek melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama dijangka menjana 89,294 pekerjaan baharu, yang menyerlahkan keupayaan negara untuk menterjemahkan komitmen pelaburan kepada impak ekonomi yang nyata.

Pelaburan asing melonjak sebanyak 43.5 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkhidmatan (+100.7 peratus), pembuatan (+12.1 peratus) dan sektor utama (+57.4 peratus).

Bagi pelaburan yang diluluskan daripada sumber asing, Singapura mendahului senarai dengan mencatat RM43.4 bilion, diikuti China (RM23.4 bilion), Amerika Syarikat (RM10.4 bilion), Kepulauan Virgin British (RM6.6 bilion) dan Itali (RM3.3 bilion).

Johor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan yang tertinggi iaitu RM56.0 bilion, diikuti Selangor (RM34.7 bilion), Kuala Lumpur (RM30.1 bilion), Pulau Pinang (RM18.9 bilion) dan Sabah (RM11.4 bilion).

Sektor tumpuan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menyumbang RM88.3 bilion atau 46.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan melibatkan pelbagai sektor ekonomi.

Kelulusan ini melibatkan 426 projek dan dijangka mewujudkan 33,891 pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, menunjukkan penjajaran kukuh antara strategi pelaburan negara dan matlamat pembangunan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata prestasi Malaysia dalam menarik pelaburan bagi separuh pertama 2025 memperlihatkan daya tahan.

"Walaupun ekonomi global tidak menentu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025. Momentum pelaburan terus kukuh. Ini mencerminkan kekuatan asas ekonomi kita dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju jangka panjang negara," katanya.

MIDA berkata sektor perkhidmatan menyumbang RM118.6 bilion dalam pelaburan diluluskan atau 62.3 peratus daripada jumlah keseluruhan yang melibatkan 2,476 projek. Ia mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 25.6 peratus, dengan anggaran 42,576 pekerjaan akan diwujudkan.

MIDA berkata di bawah sektor ini, pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM66.6 bilion (56.2 peratus) manakala pelaburan asing sebanyak RM52.0 bilion (43.8 peratus).

Bagi sektor pembuatan, Malaysia berjaya meraih RM68.4 bilion atau 36 peratus dalam pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2025, dengan kelulusan 518 projek dan 46,690 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan asing menyumbang 78 peratus atau RM53.3 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pembuatan manakala pelaburan domestik menyumbang RM15.1 bilion atau 22 peratus.

Sementara itu, sektor utama meraih RM3.3 bilion dalam pelaburan yang diluluskan melibatkan 17 projek, terutamanya dalam bidang perlombongan.

Sumber domestik mendominasi pelaburan yang diluluskan berjumlah RM1.8 bilion atau 54.2 peratus manakala sumber asing menyumbang RM1.5 bilion atau 45.8 peratus.

"Di MIDA, peranan kami adalah untuk memastikan perjalanan yang lancar daripada minat sehingga pelaksanaan. 

“Melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia, kami menghimpunkan agensi berkaitan di bawah satu bumbung. Keputusan dapat dilaksanakan dengan segera, kekangan dihapuskan dan projek dapat dimulakan dengan segera.

“Itulah faktor lebih 85 peratus projek pembuatan diluluskan sejak 2021 hingga Jun 2025 sedang dilaksanakan. Setiap hari, kami melihat bagaimana pendekatan ini membantu pelabur mengubah perancangan kepada tindakan, mewujudkan pekerjaan, membina kapasiti dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing walaupun situasi global yang kurang memberangsangkan," kata Sikh Shamsul Ibrahim.

Pada masa hadapan, MIDA berkata prospek pelaburan Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh aliran berterusan kepada cadangan projek yang berkualiti

Sehingga 31 Julai 2025, MIDA telah memudahcara perancangan 385 projek berpotensi dengan nilai keseluruhan RM22.5 bilion, yang terdiri daripada perkhidmatan (RM15.7 bilion) dan pembuatan (RM6.8 bilion).

MIDA juga sedang giat berbincang mengenai tambahan bernilai RM103.8 bilion petunjuk pelaburan berimpak tinggi, menunjukkan minat dan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap dasar mesra perniagaan dan hala tuju ekonomi jangka panjang Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan