PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) berharap cadangan baharu yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan akan diberi perhatian dalam Belanjawan 2026, khususnya memperkukuh usaha memerangi penyakit tidak berjangkit (NCDs) seperti diabetes dan obesiti.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan agensi berkaitan bagi mengemukakan beberapa cadangan tambahan di luar daripada belanjawan asas yang biasa.
"Kita sudah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang akan memperkukuh perang menentang NCDs. Insya-Allah, kita menunggu Menteri Kewangan II dan Perdana Menteri untuk merangka dan mencerakinkan Belanjawan 2026 nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota KKM di sini hari ini.
Dzulkefly turut berharap cadangan itu akan diterjemahkan dengan memberikan penekanan kepada aspek kesihatan pencegahan, promosi dan ramalan.
"Dalam masa sama, ia tidak akan mengurangkan fokus kepada apa yang kita sebut sebagai rawatan kuratif berasaskan hospital.
Beliau berkata KKM juga mahu memberikan tumpuan kepada pengurusan kesihatan populasi, khususnya aspek kesihatan awam, terutamanya dalam menangani NCDs.
Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt ini.
Belanjawan 2026 akan terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola yang baik.
Belanjawan itu juga yang pertama di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026- 2030 dan terus memaknakan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial