AM

PM Anwar Terima Deklarasi Majlis Cendekiawan Malindo MADANI

22/08/2025 04:25 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) yang disifatkan sebagai rangkuman terbaik hasil sarjana kedua-dua negara. 

Deklarasi yang mengandungi lima perkara utama itu diserahkan oleh Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia Profesor Dr M Din Syamsuddin pada majlis di Masjid Putra di sini.

Antara perkara yang diketengahkan dalam deklarasi tersebut ialah potensi peradaban Melayu-Islam untuk terus dikembangkan, keutamaan keseimbangan alam sekitar berbanding eksploitasi, serta pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat.

MALINDO MADANI merupakan inisiatif strategik yang menghimpunkan para sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar, dan tokoh masyarakat dari Malaysia-Indonesia serta negara serantau bagi membincangkan agenda peradaban berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Pelaksanaan MALINDO MADANI turut menjadi wadah memperkukuh persefahaman rentas budaya dan agama, memartabatkan nilai keilmuan, serta mengangkat peranan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam di peringkat Nusantara dan global.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat, bacaan Qunut Nazilah serta solat hajat di Masjid Putra bersama lebih 4,000 jemaah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Timbalan Menterinya Dr Zulkifli Hasan, serta Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Khutbah bertajuk “Bangkit Membela Teguh Bersaudara” disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa bin Rodzali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan