AM

Sales Mission DKI Jakarta Eratkan Hubungan Pelancongan Indonesia-Malaysia

22/08/2025 10:55 PM

MELAKA, 22 Ogos (Bernama) -- Hubungan erat antara Indonesia dan Malaysia dalam sektor pelancongan terus diperkukuh menerusi penganjuran acara Sales Mission Daerah Khusus Jakarta. 

Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru dalam kenyataan memaklumkan program anjuran Pemerintah Daerah Khusus (DKI) Jakarta dengan kerjasama konsulat berkenaan menjadi platform strategik bagi memperkenal potensi pelancongan Jakarta kepada pasaran Malaysia khususnya Melaka.

Acara itu, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam, menghimpunkan 33 pemain industri dari Melaka serta 25 wakil pengusaha dari DKI Jakarta dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Perusahaan Penyelenggara Perjalanan Wisata Inbound Indonesia, Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia Jakarta serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia.

Kenyataan itu memaklumkan Konsul Jeneral RI Johor Bahru Sigit S. Widiyanto dalam ucapan perasmian berkata hubungan Jakarta dan Melaka bukan sekadar kerjasama ekonomi tetapi juga ikatan sejarah serta budaya yang panjang.

“Kedua-dua kota ini ibarat saudara kembar yang lahir daripada rahim Jalur Rempah Maritim yang sama. Kolaborasi pelancongan bukan hanya tentang angka kunjungan tetapi juga menguatkan ikatan batin dan pemahaman antara rakyat,” katanya. 

Dalam pada itu, penganjuran program tersebut juga membuka ruang kepada pembangunan pakej pelancongan baharu berasaskan naratif sejarah serta budaya khususnya kisah perdagangan maritim yang menghubungkan Jakarta dan Melaka pada zaman lampau.

Beliau berkata berbekalkan semangat kebersamaan, program itu juga dijangka mewujudkan ekosistem pelancongan yang saling menguntungkan dan mampan selain memperkukuh solidariti serantau di Asia Tenggara.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Sanggar Nusa Budaya yang menampilkan Tari Bintang Jakarta yang menggabungkan unsur gerak tari dan silat Betawi selain penampilan khas Abang serta None Jakarta 2024.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan