JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur Mengaku Salah Bakar Lori Tunda MBJB, Hukuman Ditetapkan Esok

19/08/2025 05:12 PM

JOHOR BAHRU, 19 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar sebuah lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menggunakan petrol di depoh simpanan kenderaan, Johor Bahru Waterfront pada 15 Ogos.

Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan  terhadapnya di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Bagaimanapun, Thalha menetapkan esok sebagai tarikh keputusan hukuman dan penyerahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api iaitu petrol dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan membakar sebuah lori tunda MBJB hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM24,000.

Wan Muhammad Nasrul didakwa melakukan perbuatan itu di depoh simpanan kenderaan, Lot 1 Johor Bahru Waterfront pada 15 Ogos, kira-kira pukul 11.07 pagi dan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Navina dan Siti Fatimah Mamu tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan keputusan kes akan ditetapkan esok.

Bagaimanapun Talha membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan