AM

Majlis Pendidikan Negara Dijangka Adakan Persidangan Pertama Suku Keempat Tahun Ini

19/08/2025 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Majlis Pendidikan Negara (MPN) yang akan ditubuhkan tahun ini dijangka mengadakan persidangan pertama pada suku keempat tahun ini dalam usaha meneruskan agenda reformasi pendidikan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penubuhan MPN yang digariskan di bawah hala tuju baharu Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2030 akan berperanan sebagai jawatankuasa tertinggi pada peringkat nasional serta dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“MPN bertujuan menyelaras dasar pendidikan negara secara menyeluruh merentasi pelbagai peringkat, iaitu peringkat pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan tinggi dan pendidikan sepanjang hayat dengan erti kata lain, melibatkan dua kementerian utama, iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Dalam hal ini, kita menjangkakan kementerian berkaitan akan menyediakan memorandum untuk Jemaah Menteri dan kita akan bentangkan dan akhirnya akan bersidang untuk kali pertama pada suku keempat tahun ini,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi KPT di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata MPN juga akan dianggotai pelbagai kementerian antaranya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selain turut melibatkan wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan, komuniti serta pakar-pakar dari dalam dan luar negara memandangkan isu berkaitan pendidikan melibatkan seluruh ekosistem.

“Tidak dilupakan saya juga ada berbincang untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang dipengerusikan (Ahli Parlimen) Indera Mahkota dalam MPN kerana majlis ini perlu merentasi parti demi kepentingan dan kesejahteraan masa depan negara kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry memberikan jaminan bahawa pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) cemerlang yang didakwa dinafikan hak memohon kemasukan ke Universiti Awam (UA) akan tetap ditawarkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Beliau berkata walaupun pihak universiti menyatakan tiada kemudahan mesra OKU sebagai alasan penolakan, pelajar terbabit memperoleh keputusan cemerlang 4A dan layak melanjutkan pelajaran.

“Kita kena ubah dasar universiti yang mesti bersifat lebih inklusif kepada OKU. Lantaran itu, permohonan libatkan pelajar OKU 4A ini insya-Allah, beliau akan mendapat tempatnya nanti,” katanya.

Sebelum ini, seorang pelajar OKU dikenali sebagai Aniq dilaporkan memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83 pada peringkat matrikulasi dan memenuhi syarat am serta khas program yang dimohon.

Aniq pada asalnya dapat memilih program universiti dalam fasa kedua melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU), namun pilihan berkenaan "hilang" pada peringkat seterusnya.

Sementara itu, Zambry menegaskan bahawa dasar pengambilan pelajar di UA mesti memberikan keutamaan kepada pelajar tempatan sebelum tempat ditawarkan kepada pelajar antarabangsa.

“Sebagai contoh, bilangan diperlukan UPU untuk satu universiti ini sekian jumlahnya, maka dipenuhi dahulu kuota itu dan kalau ada lebihan dari segi kapasiti universiti yang berkenaan, maka ia akan dibuka (kepada pengambilan pelajar antarabangsa) mengikut dasar yang telah kita laksanakan selama ini sejak 1996,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 497,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian tinggi di UA termasuk 365,000 pelajar pada peringkat ijazah pertama, berbanding 13,000 pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti kursus prasiswazah.

Zambry berkata KPT juga tidak akan melakukan sesuatu perkara yang akan mengorbankan peluang anak-anak tempatan untuk melanjutkan pengajian peringkat tertinggi di UA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan