AM

JPJ Komited Perkukuh Keselamatan Jalan Raya Berlandaskan Maqasid Syariah

16/08/2025 11:25 AM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) komited memperkukuh keselamatan jalan raya berlandaskan pendekatan maqasid syariah dalam program advokasi, operasi khas, serta kempen berkaitan demi menjaga kemaslahatan rakyat selaras dengan tuntutan agama dan nilai kemanusiaan sejagat.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu selaras dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) yang menekankan keperluan setiap dasar dan tindakan kerajaan dalam memberi manfaat, melindungi nyawa dan memastikan kesejahteraan rakyat. 

Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai tindakan advokasi dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya melalui kempen keselamatan jalan raya dan aktiviti penguatkuasaan yang menyentuh aspek pemeliharaan nyawa yang mampan berlandaskan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta kaedah di bawahnya. 

"Penguatkuasaan seperti pemakaian tali pinggang keledar melibatkan penumpang dan pemandu bas di Malaysia bermula 1 Julai lepas antara yang bertepatan dengan prinsip maqasid syariah iaitu memelihara nyawa.

"Tindakan tegas penguatkuasaan seperti penahan, kompaun atau sitaan kenderaan melalui pelbagai operasi seperti Ops Khas Motosikal, Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Khas Kenderaan Perdagangan, mencerminkan bahawa JPJ bukan sahaja serius dalam usaha mengangkat integriti undang-undang jalan raya ke tahap tertinggi, malah konsisten untuk mengurangkan peratus kadar kemalangan yang berpotensi mengakibatkan kerugian serta kerosakan aset individu mahupun negara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan