AM

Semangat Patriotisme: Lelaki Agih 15,000 Jalur Gemilang Percuma Di Kelantan

16/08/2025 08:24 PM

GUA MUSANG, 16 Ogos (Bernama) -- Atas semangat patriotisme, Mohd Rohimi Ibrahim, 55, mengagihkan 15,000 Jalur Gemilang secara percuma kepada penduduk di lima lokasi berasingan di Kelantan, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Usahanya itu bukan sekadar memberi bendera, tetapi menghidupkan kembali semangat cinta negara dalam setiap hati rakyat.

Beliau memperuntukkan kira-kira RM50,000 untuk pembelian Jalur Gemilang, jamuan makan dan aktiviti kebudayaan, sambil menekankan bahawa pengagihan itu cara kecil beliau menggalakkan seluruh komuniti menyahut seruan Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.

“Saya mahu setiap rumah, setiap premis merasai kegembiraan bulan kemerdekaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sejak 2018, Mohd Rohimi telah melaksanakan inisiatif itu setiap tahun dan tahun ini Gua Musang menjadi lokasi terbaru.

“Kami mula di Pasir Mas dan Machang, tetapi di sini saya mahu buat kelainan dengan turut menghantar Jalur Gemilang ke premis perniagaan supaya semua lapisan masyarakat dapat merasai semangat kemerdekaan,” katanya.

Mohd Rohimi berpandangan pengagihan Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, tetapi satu cara menzahirkan kasih sayang kepada negara.

“Saya harap usaha kecil ini dapat menyemarakkan kemeriahan Hari Kebangsaan dan mengingatkan masyarakat bahawa kemerdekaan yang kita nikmati hari ini hasil perjuangan generasi terdahulu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan