KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 20 usahawan berjaya menamatkan pengajian hari ini menerusi Program Keusahawanan Muda CGC100 Fast Track Kumpulan 2, inisiatif anjuran Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).
Dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan PINTAR dan disokong Kementerian Pendidikan, program itu menyasarkan usahawan muda berusia 18 hingga 23 tahun daripada komuniti B40 dan M40.
Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein berkata inisiatif itu bukan sahaja melengkapkan peserta dengan kemahiran asas perniagaan, tetapi memfokuskan pada penerapan nilai bagi membina perniagaan yang beretika, mampan dan berdaya tahan.
“Program selama enam bulan ini menjadi platform untuk mempelajari asas perniagaan, namun yang lebih penting ialah menyemai nilai murni dalam menguruskan perniagaan.
“Perniagaan mampan dan berdaya tahan dapat dicapai melalui penglibatan aktif, bukan hanya dengan memiliki saham,” katanya selepas Majlis Graduasi CGC100 Fast Track Kumpulan 2 dan Pelancaran Fast Track Kumpulan 3 di sini hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.
Program Keusahawanan Belia CGC100 setakat ini telah melahirkan 70 graduan termasuk daripada program 12 bulan ‘Trek Komprehensif’ dan berjaya mewujudkan 61 peluang pekerjaan baharu, dengan 64 peratus peserta memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan.
Kesannya merangkumi 20 industri, dengan 80 peratus graduan berjaya mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan 71 peratus pemohon pembiayaan memperoleh jumlah penuh yang diminta.
Kohort ketiga Fast Track yang dijadualkan berlangsung dari Ogos 2025 hingga Februari 2026 akan menempatkan 30 peserta dalam kurikulum tujuh bulan yang merangkumi asas perniagaan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), penjenamaan, ekonomi digital, literasi kewangan dan kemahiran penyampaian.
Mohammed berkata kohort ketiga juga mungkin menampilkan elemen baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan peserta menghadapi cabaran perniagaan masa depan.
“Elemen baharu yang ingin kami perkenalkan ialah impak digital AI. Jika AI berkembang dengan pesat, tugas yang sebelum ini hanya boleh dilakukan manusia tidak akan berlaku lagi.
“Ia sesuatu yang menarik tetapi menakutkan juga. Jadi, kita perlu membina kesedaran terlebih dahulu sambil menerapkan nilai yang betul,” katanya.
Seorang daripada graduan Carmelina Taunek, 21, berkata program itu membantunya meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dan mengembangkan perniagaan pertanian hidroponik di Keningau, Sabah.
“Semasa kami mula-mula berniaga, jualan bulanan hanya sekitar RM300, tetapi kini mencecah kira-kira RM2,000. Program ini benar-benar mengubah cara kami menjalankan perniagaan,” katanya.
Seorang lagi graduan Ali Iskandar Padzil, 24, berkata latihan itu memperkemaskan pendekatan pengurusan perniagaannya dalam bekalan ayam segar di Kepala Batas, Pulau Pinang, selain meningkatkan keupayaan mengurus pasukan dan struktur operasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial