JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga Rugi Lebih RM79,000 Terperdaya Sindiket Penipuan Dalam Talian

15/08/2025 06:20 PM

SIBU, 15 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang peniaga tempatan kerugian lebih RM79,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa seorang lelaki berusia 50-an, mula terperdaya selepas mengikuti siaran langsung di laman sosial Facebook yang mempromosikan cabutan kotak hadiah pada 7 Ogos lepas.

“Mangsa membuat bayaran RM499 ke akaun yang diberikan untuk menyertai aktiviti itu, namun tidak memenangi sebarang hadiah. Selepas itu, mangsa menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor luar negara.

“Pemanggil memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat emas dari Shanghai, China yang bakal membuka cawangan di Malaysia. Mereka akan mengadakan cabutan bertuah dalam bentuk kotak hadiah mengandungi wang tunai mata wang dolar Amerika Syarikat dan peluang menjadi rakan niaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa bersetuju untuk membeli 80 kotak hadiah dan membuat bayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

Pada 12 Ogos, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan kotak hadiah telah dibuka dan mangsa memenangi wang tunai USD288,888.88 (RM1,218,677.74) yang akan dipindahkan ke akaunnya pada hari sama.

Dari 7 hingga 13 Ogos, mangsa membuat 11 transaksi berjumlah RM79,499 ke dua akaun tempatan, namun tiada wang diterima dan mesej WhatsApp mangsa disekat.

“Mangsa yang curiga membuat laporan polis pada 14 Ogos dan polis mengesahkan menerima laporan itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan