AM

200 Pengendali Radio Amatur Sertai Program CQ Sempena Sambutan Merdeka

15/08/2025 11:44 AM

MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Seramai 200 pengendali radio amatur dijangka mengendalikan program Call Que (CQ) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bermula hari ini hingga 20 Sept depan.

Timbalan Presiden Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) Zanirul Akhmal Zanirun berkata pihaknya turut mengaktifkan 14 stesen khas radio amatur di seluruh negara bagi menyokong program berkenaan.

Menurutnya program tahunan CQ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu bertujuan mengukuh serta menyemarakkan semangat kemerdekaan, khususnya dalam kalangan penggiat radio amatur dan ahli keluarga mereka, sejajar dengan tema Hari Kebangsaan, “Malaysia Madani, Rakyat Disantuni”.

“Semua stesen radio amatur terbabit bukan sahaja akan membuat dan menerima panggilan daripada penggiat radio dalam negara, malah daripada seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, katanya selain menyampaikan ucapan sambutan, komunikasi dengan stesen radio luar negara juga memberi peluang untuk menyalurkan pelbagai maklumat mengenai lokasi pelancongan menarik dan keindahan budaya negara yang dihuni berbilang bangsa.

Zanirul Akhmal berkata MARTS, selaku persatuan induk di bawah naungan Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU), akan menyelaraskan permohonan isyarat panggilan (callsign) khas dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Sebanyak 14 isyarat panggilan unik seperti 9M25M(x) akan digunakan sepanjang program CQ Hari Kebangsaan 2025. Misalnya di Melaka, isyarat panggilan 9M25MM dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Komunikasi Radio Amatur Melaka (MERRAC),” katanya.

Beliau berkata selain CQ Hari Kebangsaan, Merdeka Net juga akan dijalankan pada 30 dan 31 Ogos, memberi peluang kepada stesen radio tempatan menyampaikan ucapan serta bertukar maklumat semasa, termasuk mengenai pelbagai peralatan dan teknologi radio.

Pada 2024, 14 stesen CQ Merdeka telah mengendalikan lebih 12,000 panggilan daripada dalam dan luar negara sepanjang program itu berlangsung, termasuk komunikasi menggunakan isyarat kod morse.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan