AM

Semak Imej Jalur Gemilang Hasil AI, Elak Cemar Maruah Negara

14/08/2025 09:05 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Penghasilan bahan visual patriotik terutamanya Jalur Gemilang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperiksa dengan teliti bagi menggelakkan sebarang kesilapan yang berpotensi mencabuli simbol kebangsaan serta menjejaskan maruah negara.

Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Mohd Sabri Abdullah berkata semakan kualiti perlu dilakukan oleh manusia kerana AI cenderung untuk melakukan kesilapan dalam menghasilkan bahan berpunca daripada kekangan teknologi itu sendiri.

Beliau berkata antara kekangan ialah model latihan AI mungkin tidak mempunyai rujukan rasmi yang tepat untuk digunakan dan cenderung untuk menggabungkan pelbagai unsur daripada pelbagai contoh semasa menghasilkan imej.

"AI juga berisiko keliru dalam melaksanakan arahan disebabkan arahan (prompt) yang tidak tepat atau kabur...jika arahan kepada AI tidak dinyatakan secara terperinci, AI akan mengisi dengan andaian sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai taklimat media berhubung tatacara penerbitan dan penggunaan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata pembuat karya perlu memeriksa setiap aspek imej Jalur Gemilang yang dihasilkan bagi memastikan sebarang kesalahan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan sebelum penerbitan.

Beliau berkata kesilapan baik dari segi grafik, warna, nisbah, jumlah jalur mahupun orientasi imej boleh menjejaskan maruah negara dan perpaduan rakyat.

"Menyanjung lambang kebesaran negara tidak bermakna menyekat kreativiti tetapi ia menuntut kreativiti yang berprinsip dan bermaruah.

"Teknologi AI adalah satu kemudahan, tetapi kemahiran dan pengetahuan asas manusia tentang protokol dan piawaian rasmi Jalur Gemilang adalah satu keperluan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian (Anugerah dan Persidangan Antarabangsa), Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Azman Ishak mengingatkan orang ramai agar sentiasa mempamerkan Jalur Gemilang mengikut spesifikasi rasmi yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan penggunaan Jalur Gemilang pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang diubah secara fizikal untuk mempromosikan sambutan Bulan Kebangsaan adalah tidak dibenarkan.

"Penggunaan bendera dalam penghasilan logo juga tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam taklimat sama.

Garis panduan mengenai spesifikasi dan etika pengibaran Jalur Gemilang serta simbol kebangsaan lain boleh dirujuk di laman sesawang https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/?product_cat=kenegaraan

Bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung di Pulau Pinang pada 16 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan