KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penahanan beberapa pegawainya yang disyaki terlibat sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah dan rokok.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata siasatan akan dijalankan terperinci dan ATM tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana warganya yang terbabit.
“Tindakan disiplin dan undang-undang akan dikenakan jika terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Segala perkembangan berkaitan hasil siasatan dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan SPRM menahan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan ATM kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan barang larangan di selatan tanah air.
Kesemua individu berusia 30 hingga 55 tahun termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Sohor oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) bermula 6.30 pagi tadi.
Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lepas, dengan mengumpul hasil rasuah lebih RM3 juta serta membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup.
Perbuatan itu dipercayai memudahkan kemasukan barang larangan seperti dadah, rokok dan pelbagai barangan lain dari negara jiran ke Malaysia, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5 juta sebulan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tiada individu istimewa di bawah undang-undang dan memohon pihak berkuasa melaksanakan siasatan sewajarnya supaya pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dalam soal ini, lebih-lebih lagi dakwaan ini berupaya menggugat keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan dan ATM memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan kes berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial