PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan program pendidikan antirasuah melibatkan pegawai dan pelajar Malaysia di republik itu.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata SPRM menyambut baik hasrat itu dan memberikan komitmen jitu bagi menjayakan program berkenaan.
“Antara program dirancang seperti Ceramah lntegriti dan lkrar Bebas Rasuah (lBR) serta Seminar lntegriti Pengurusan Dana Awam Dalam Pengurusan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di lndonesia (PKPMI) bersempena Hari lntegriti Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Tahun 2025 yang akan diadakan pada September ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin di Jakarta semalam.
“Pertemuan ini menjadi platform terbaik kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan maklum balas kepada permohonan program oleh Menteri Kedutaan (Pendidikan), Education Malaysia Indonesia (EMI), Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Dr Hasnul Faizal Hushin Amri,” katanya.
Sementara itu, Syed Mohamad Hasrin berkata pihaknya sentiasa komited untuk memupuk budaya kerja berintegriti, telus dan bertanggungjawab dalam kalangan pegawai dan warga agensi kerajaan Malaysia yang beroperasi di bawah naungan kedutaan.
“Penganjuran Hari lntegriti Tahun 2025 adalah sejajar dengan aspirasi nasional serta Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menekankan keperluan pembudayaan integriti di setiap lapisan pentadbiran awam termasuk di luar negara serta persatuan pelajar Malaysia di luar negara,” katanya.
Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Timbalan Pengarah PenMas SPRM Samsul Salip serta Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Farzamie Sarkawi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial