ROMPIN, 9 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat agar menghiasi premis dan kediaman masing-masing dengan Jalur Gemilang serta bendera Pahang sebagai simbol kasih kepada tanah air.
Beliau berkata ini kerana kedua-duanya bukan sekadar kain berwarna tetapi helaian cerita dengan setiap warna dan jalur serta bintang membawa makna yang mengikat hati rakyat Malaysia.
"Saya menyeru marilah kita kibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, sekolah, pejabat, kedai serta di jalan utama... biarlah dari hujung Kampung Raja di Cameron Highlands hingga ke Pulau Tioman, Jalur Gemilang dan bendera Pahang berkibar megah melambai menyampaikan mesej kasih kita kepada tanah air," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Pahang di Dataran Muadzam Shah di sini hari ini.
Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan yang mengangkat tema 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' bukan sahaja indah daripada segi bunyinya tetapi juga mendalam daripada segi makna.
Wan Rosdy berkata tema itu mengingatkan kita kepada asas pembinaan negara yang memelihara rakyatnya dengan penuh kasih, menghormati perbezaan dan mengangkat nilai-nilai murni dalam pentadbiran.
Beliau juga berkata bulan penuh sejarah ini harus digunakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan program yang membina, bukannya membakar emosi.
Menteri Besar Pahang itu turut mengingatkan bahawa kemerdekaan yang sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan luar tetapi juga bebas daripada penjajahan minda, kebencian, hasad dengki dan perpecahan.
"Kesempatan ini juga kita gunakan untuk sampaikan semangat kemerdekaan kepada anak-anak dan generasi muda," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial