AM

Komputer Riba “Hadiah” Kerajaan Pahang Buat Pelajar Orang Asli Lanjut Pengajian Di IPTA - MB

09/08/2025 06:30 PM

ROMPIN, 9 Ogos (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli Pahang yang dapat melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diberikan komputer riba bagi memudahkan akses pendidikan dan mengurangkan beban kos pembelajaran mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif itu juga sebagai “hadiah” sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia dan antara lain bukti kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan itu terutama dalam aspek pendidikan.

“Kalau sebelum ini mereka perlu memohon, tetapi sekarang anak Orang Asli dapat automatik, jadi mereka tidak perlu fikir untuk beli komputer riba ketika nak sambung belajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Pahang di Perkampungan RPS Bukit Serok di sini hari ini.

Hari Orang Asli Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun dengan sambutan pertama pada 1995. 

Wan Rosdy berkata beliau mahu melihat masyarakat Orang Asli “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dalam mencipta pelbagai kejayaan seperti golongan lain.

“Saya memberi penekanan kepada pendidikan kerana kita percaya hanya dengan pendidikan boleh ubah sesuatu kaum, saya juga nak lihat supaya kadar keciciran masyarakat Orang Asli diminimumkan,” katanya.

Beliau berkata usaha Yayasan Pahang dalam memastikan golongan Orang Asli tidak terus tercicir menunjukkan kesan positif apabila bilangan golongan itu yang celik huruf dilaporkan semakin meningkat. 

“Kita juga minta agensi kerajaan seperti ini membantu bagi meningkatkan kecekapan Orang Asli terutama daripada segi pendidikan dan kerajaan negeri sentiasa komited untuk membangunkan golongan berkenaan secara menyeluruh,” katanya.

Di Pahang, sebanyak 95,382 Orang Asli direkodkan pada tahun lepas, iaitu jumlah terbesar di Semenanjung Malaysia, yang terbahagi kepada tiga suku kaum utama iaitu Senoi, Melayu Proto serta Negrito.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan