SUKAN

Selagi Nafas Masih Ada, Sumpah Setia Tetap Buat Malaysia - Atlet Negara

21/08/2025 11:06 AM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- “Pahit getir hidup dan pengorbanan, terpaksa dihadapi demi kejayaan” - bait lagu Ella, Standing in the Eyes of the World, yang sering mengiringi detik gemilang sukan negara bukan sekadar lirik, sebaliknya cerminan darah, peluh dan air mata yang ditumpahkan atlet demi Jalur Gemilang.

Setiap kali lagu itu berkumandang, terbayang sorakan ribuan rakyat di stadium, tangan yang menggenggam Jalur Gemilang dan wajah-wajah atlet berdiri di podium dengan mata berkaca, mengalunkan lagu kebangsaan.

Bagi mereka, perjuangan di gelanggang bukan sekadar memburu pingat tetapi satu sumpah setia kepada diri sendiri, keluarga dan tanah air bahawa setiap langkah dan setiap degupan jantung akan digunakan untuk mengangkat nama Malaysia setinggi mungkin.

Itulah semangat yang menjadikan Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Cheah Liek Hou dan Muhammad Faisal Abdul Halim antara ‘pendekar’ sukan negara, membawa kisah luar biasa sebagai panduan generasi muda bahawa ada seribu satu jalan untuk mengibarkan Jalur Gemilang megah di mata dunia.

Pernah rebah di trek, menjalani pembedahan jantung, hidup berjauhan daripada keluarga, menyaksikan anak-anak membesar dari kejauhan hingga ‘kehilangan’ peluang emas Olimpik di saat akhir namun segala derita itu tidak pernah memadam semangatnya. 

Mohd Azizulhasni,  37, rela berundur daripada skuad kebangsaan untuk memberi ruang kepada generasi muda sambil memilih jalan lebih getir sebagai pelumba profesional demi cintanya kepada negara.

“Saya sangat patriotik. Apa sahaja yang saya lakukan dalam sukan, nombor satu sentiasa untuk negara… bukan tentang individu, tapi tentang negara. Apa sahaja yang saya buat, saya lakukan untuk Malaysia.

“Bagi saya detik mendengar lagu Negaraku sangat istimewa. Sebab itu kalau saya tengok atlet lain, contohnya atlet karate naik ke podium, walaupun hanya di televisyen di rumah, saya tetap sebak. Sebab kita tahu untuk menang, untuk berdiri di podium bukan mudah. Banyak pengorbanan yang perlu dilalui,” katanya.

Bagi Azizul, apabila melihat rakyat tanpa mengira bangsa berdiri bersama menyokong dengan semangat berkobar, beliau terdorong untuk ‘berpesan’ kepada generasi baharu bahawa kemenangan tidak pernah hadir dalam sekelip mata.

“Kalau saya berjumpa dengan anak-anak muda, atlet junior, saya akan berterus terang. Kamu mesti benar-benar bersedia jika mahu melangkah lebih jauh dalam sukan. Kamu perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Kamu juga perlu banyak berkorban, sanggup melalui kecederaan, tekanan harapan serta pelbagai cabaran lain”.

“Di peringkat lebih rendah seperti Sukan SEA mungkin mudah, tapi bila naik ke pentas dunia dan Olimpik, ia sangat besar, ramai atlet bila berada di bawah spotlight dan tekanan tidak dapat perform, kita panggil ‘choke’.

“Ia memang tidak mudah, tetapi pengalaman mengajar. Mental preparation sangat penting, bekerjasama dengan pakar psikologi dan belajar sendiri cara menghadapi cabaran,” katanya.

Bagi atlet badminton paralimpik, Cheah Liek Hou, setiap kata-kata hinaan bukanlah racun yang melemahkan, sebaliknya vitamin yang menyuburkan semangatnya untuk terus memburu kejayaan. Cemuhan pula hanyalah ‘bahan bakar’ untuk membuktikan bahawa tiada siapa mampu mengekang tekad seorang juara.

Pemenang dua pingat emas Paralimpik itu menegaskan pencapaiannya sudah cukup menjadi jawapan kepada mereka yang meragui kemampuannya, namun beliau memilih untuk terus mengejar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Bukan setiap kejohanan kita boleh menang, tetapi saya boleh menunjukkan kepada mereka yang menghina atau mengutuk di media sosial bahawa saya mampu mencatatkan prestasi cemerlang, antaranya dengan memenangi dua pingat emas di Sukan Paralimpik,” katanya.

Namun, atlet berusia 37 tahun itu tidak menafikan ada waktunya kata-kata sinis tetap menghiris hati, apatah lagi apabila ia datang daripada orang terdekat.

“Ada orang terdekat kata, ‘Lie Hou ni dah tua, tak boleh dah, badan dia dah teruk.’ Saya jawab, ‘Tak apa, saya buktikan pada you’,” katanya yang kini bertekad mempertahankan emas dalam satu lagi kitaran Olimpik di Los Angeles 2028.

Baginya, rahsia bertahan lama di puncak bukan sekadar disiplin latihan, tetapi juga mentaliti ‘lapar’ yang tidak pernah padam – satu sifat yang menurutnya semakin luntur dalam kalangan atlet muda.

“Kecaman itu biasa. Jadi kita sebagai atlet kena kuat mental, jangan terjejas dengan kata-kata kecil orang. Mereka tak tahu perjalanan kita, mereka tak tahu persediaan kita. Kita sendiri dengan jurulatih sahaja yang tahu,” katanya.

Bagi Muhammad Faisal pula, biar tubuhnya pernah dibakar asid, cintanya kepada Malaysia tetap kekal menyala kerana baginya, parut di tubuh hanyalah lambang pengorbanan, manakala semangatnya bukti kasih kepada tanah air yang tidak pernah pudar.

Tragedi disimbah asid mungkin meninggalkan luka pada tubuh, namun semangatnya untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya kekal membara, menjadikan detik hitam itu pendorong untuk bangkit semula.

Pemain sayap berusia 26 tahun itu mengakui keluarga, rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia menjadi tonggak kekuatan yang membantunya melalui saat getir yang hampir memadamkan kariernya.

“Ya, sebagai anak Malaysia, saya perlu teruskan perjuangan dan karier saya. Rakan-rakan, keluarga dan rakyat Malaysia adalah semangat saya. Mereka memberi saya kekuatan untuk bangun semula sebagai pemain bola sepak,” katanya.

Mesra disapa ‘Mickey’, Mohamad Faisal percaya tahun ini bakal menjadi titik kebangkitannya semula selepas melalui proses pemulihan panjang dan saya rasa tahun ini adalah tahun untuk saya kembali dalam arena bola sepak,” katanya.

Detik paling bermakna hadir pada Mac lalu apabila rindunya akhirnya terubat selepas membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim.

Pengorbanan Mohd Azizulhasni, Liek Hou dan Mohamad Faisal hanyalah sebahagian daripada ribuan kisah yang tidak tercatat di dada akhbar, namun semuanya berpaksikan satu semangat - demi Malaysia!

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan