KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo hari ini melancarkan logo rasmi ‘Wings of Unity’, merupakan pencapaian penting dalam persediaan untuk memulakan operasinya pada Januari 2026.
Logo berkenaan dilancarkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis khas yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi di sini.
Syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan slogan jenama, ‘Borneo For You’ yang mencerminkan visi AirBorneo dalam menggalakkan perjalanan yang bermakna, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan sebagai penghubung masyarakat dengan komuniti perniagaan merentas benua.
Dalam kenyataannya, AirBorneo memaklumkan syarikat penerbangan itu akan mengambil alih dan memperluaskan perkhidmatan ditawarkan oleh MASwing, termasuk laluan penerbangan penuh dan Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang penting kepada komuniti pedalaman.
“Dengan tumpuan kepada perkhidmatan berkualiti dan penghayatan terhadap warisan tempatan, identiti jenama AirBorneo menggabungkan elemen warna dan motif Sarawak sebagai simbol perpaduan dan kepelbagaian rantau ini.
“Pelancaran ini mengukuhkan peranan AirBorneo bukan sahaja sebagai syarikat penerbangan tetapi juga jambatan budaya yang menyatukan warisan dengan penerbangan moden selain membawa identiti Borneo ke persada antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Pada 12 Feb lepas, Abang Johari mengumumkan penubuhan AirBorneo susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial