AM

Influenza: Kelas PPKI SK Taman Permas Jaya 2 Ditutup 10 Hari

09/10/2025 08:05 PM

JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Sebuah kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, Masai, di sini ditutup selama 10 hari bermula semalam berikutan penularan kes influenza A.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata penutupan itu susulan lima murid, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) disahkan positif jangkitan manakala 15 murid lain pula menunjukkan gejala.

"Semua guru, murid dan PPM yang dijangkiti diarahkan menjalani kuarantin bermula dari hari ini. Bagaimanapun, enam guru dan dua PPM lain disahkan bebas jangkitan dan dibenarkan bertugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aznan berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru memaklumkan penutupan dilaksanakan mengikut Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan kawalan dan pencegahan penularan penyakit.

Beliau berkata pihak sekolah telah diarahkan melaksanakan sanitasi di kawasan terlibat dan mereka yang bergejala diingatkan supaya segera ke klinik berhampiran dan tidak hadir ke sekolah sehingga sihat sepenuhnya.

Menurut Aznan, kebajikan, keselamatan dan kesihatan murid PPKI dipantau Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melalui Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang bagi memastikan prosedur kawalan kesihatan dilaksanakan dengan sempurna.

"Pihak sekolah turut diingatkan agar terus menekankan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran sebagai langkah pencegahan berterusan," katanya.

Beliau berkata JPNJ akan terus bekerjasama dengan PKD Johor Bahru dan agensi berkaitan bagi memastikan situasi terkawal serta tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan warga sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dalam kenyataan berlainan berkata kes melibatkan sekolah itu merupakan kluster influenza keenam yang dicatatkan di daerah Johor Bahru tahun ini.

"Untuk sepanjang 2025 (setakat ini) di Johor Bahru ada enam kluster, empat membabitkan influenza A dan dua influenza B," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan