KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Dalam kesibukan persiapan menyambut Deepavali, pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkongsi kenangan manis dan juadah kegemaran mereka sempena perayaan itu sekali gus menyerlahkan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata Festival Cahaya sentiasa menjadi momen istimewa baginya untuk menikmati snek tradisional masyarakat India, khususnya muruku.
“Sejak kecil, setiap kali cuti Deepavali saya akan menunggu pemberian muruku, sehingga kini, saya masih berharap rakan-rakan yang menyambutnya akan menghantar (muruku) kepada saya, hidangan kegemaran saya pula ialah kari kambing, walaupun ramai nasihatkan supaya tidak makan terlalu banyak.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita benar-benar bertuah kerana dapat meraikan semua perayaan, Deepavali, Hari Raya Aidifitri, Tahun Baru Cina dan Krismas bersama-sama sebagai satu negara, mencerminkan keamanan dan keharmonian yang menjadikan negara kita unik,” kata Wong dalam ucapan sempena Deepavali dalam satu majlis di Wisma Bernama di sini, hari ini.
Mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya di Pulau Pinang, Wong berkata antara yang paling dirinduinya mengenai Deepavali adalah limpahan lampu-lampu hiasan yang menerangi rumah dan kuil.
Sementara itu, tose menjadi hidangan pilihan utama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin semasa Deepavali, selain beriani dan manisan seperti ladu.
Pengalaman membesar bersama keluarga India di kawasan kejiranannya, yang telah dianggap sebagai keluarga sendiri, turut menjadi memori indah.
“Ketika saya kecil, setiap pagi saya akan pergi rumah ‘aunty’ ini yang kemudian menjadi guru tuisyen saya dan menjaga saya seperti anaknya sendiri. Saya akan melihat guru saya ini menghasilkan bahan untuk tose dan memasak dalca, kemudiannya disuapkan kepada saya bersama anak-anaknya.
“Ini pengalaman yang saya tidak dapat lupakan kerana saya membesar bersama anak-anaknya sehinggalah beliau pindah selepas kematian suaminya,” katanya.
Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata Deepavali baginya adalah mengenai perjumpaan keluarga dan berhubung semula dengan orang tersayang, tetapi sambutannya kini berbeza kerana setiap orang sibuk dengan keluarga dan komitmen masing-masing.
“Sajian kegemaran saya semasa Deepavali termasuk kari kambing, tose dan manisan, terutamanya kallu urundai (manisan yang diperbuat daripada kacang hijau dan gula perang), yang sangat keras dan sinonim dengan Deepavali.
"Dahulu, kami pernah menghantar kad Deepavali berwarna-warni kepada rakan-rakan, lengkap dengan setem dan nota tulisan tangan. Kini, semuanya secara digital, malah angpau kini dihantar menerusi kod QR. Ia praktikal, tetapi ia tidak mempunyai sentuhan peribadi," katanya.
Sempena majlis hari ini, Zurich Malaysia menaja minuman panas dan snek petang, termasuk teh masala, kopi bru, vadai dan karipap daripada Tea Thambi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial