EKONOMI

Pertumbuhan ASEAN+3 Disemak Naik Kepada 4.1 Peratus Bagi 2025, 3.8 Peratus Tahun Depan

09/10/2025 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan di rantau ASEAN+3 diunjurkan pada kadar 4.1 peratus tahun ini dan 3.8 peratus pada 2026, sekali gus merupakan satu semakan naik berbanding unjuran yang dibuat pada Julai.

Unjuran itu disokong oleh prestasi kukuh pada tempoh separuh pertama dan momentum eksport yang lebih rancak berbanding jangkaan.

Menurut Laporan Kestabilan Kewangan ASEAN+3 2025 dan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 - Kemas Kini Oktober yang dikeluarkan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) hari ini, tekanan pasaran telah beransur-ansur reda sejak memuncak pada April susulan pengumuman tarif “Hari Pembebasan”.

“Sektor korporat yang berorientasi eksport, khususnya syarikat kecil yang sangat terdedah kepada permintaan dari Amerika Syarikat (AS), mungkin menghadapi tekanan terhadap margin keuntungan berikutan perubahan dinamik perdagangan.

“Tekanan inflasi di AS mungkin berterusan akibat tarif import yang lebih tinggi, sekali gus menyukarkan pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) dan berkemungkinan mencetuskan kesan limpahan kepada negara lain,” menurut AMRO dalam kenyataan pada Khamis.

AMRO menjelaskan ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap status dolar AS sebagai mata wang selamat boleh menyebabkan landskap kewangan global lebih terpecah-pecah.

Walaupun menghadapi semua cabaran itu, ekonomi ASEAN+3 kekal berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi kekangan global.

“Gabungan dasar yang diubah suai dan asas yang kukuh -- termasuk sistem perbankan yang mantap, pasaran kewangan yang semakin mengukuh, rizab asing dan ruang dasar tersedia yang mencukupi -- telah menyediakan penampan penting.

“Memandangkan inflasi yang sebahagian besarnya kekal terkawal dan dijangkakan stabil di kebanyakan ekonomi, kalangan bank pusat boleh mengekalkan dasar monetari yang akomodatif untuk menyokong pertumbuhan,” tambah AMRO.

Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata walaupun perdagangan dalam rantau dan permintaan domestik semakin menjadi pemacu pertumbuhan utama di seluruh ASEAN+3, rantau ini masih sangat terhubung dengan sistem kewangan global justeru, tidak kebal daripada kejutan global.

“Secara keseluruhan, sistem kewangan rantau ini kekal berdaya tahan namun masih wujud beberapa ruang kelemahan,” katanya.

ASEAN+3 merangkumi 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, serta tiga rakan dialog iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

AMRO ialah sebuah organisasi pemantauan makroekonomi serantau yang bertujuan menyumbang kepada kestabilan makroekonomi dan kewangan di rantau ASEAN+3.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan