AM

FFC X TMTG: Aktivis Malaysia Dikasari, Alami Penderaan Fizikal - CEO MyCare

10/10/2025 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Beberapa aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilaporkan telah dikasari dan mengalami penderaan fizikal serta layanan tidak berperikemanusiaan semasa dan selepas pemintasan oleh tentera Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) memaklumkan tindakan rejim Zionis itu termasuk menendang, menampar dan mencengkam secara agresif.

Beliau berkata tentera Zionis melakukan perkara sama terhadap peserta kali ini seperti yang dialami peserta misi Global Sumud Flotilla sebelum ini.

“Setakat 3 petang tadi, peguam ADALAH di Israel telah berjumpa dengan 100 aktivis daripada 145 yang ditahan Israel.

“Sembilan aktivis Malaysia disahkan tiada kecederaan, namun pihak MyCARE akan mengatur pemeriksaan lebih lanjut sejurus dibebaskan bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan yang baik,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini FFC di Serdang hari ini.

Kamarul Zaman berkata tujuh aktivis Malaysia sudah menandatangani surat deportasi, manakala status dua lagi aktivis masih belum diketahui.

Pihak MyCARE masih menunggu laporan daripada peguam ADALAH dan dijangka proses tribunal akan selesai pada tengah malam ini waktu Malaysia.

Kesemua aktivis FFC x TMTG terdiri daripada doktor perubatan serta wartawan antarabangsa hanya membawa bantuan kemanusiaan untuk diserahkan kepada rakyat Gaza dan bukan pengganas seperti yang dilaporkan rejim Israel.

“Mereka tidak membawa senjata, tetapi membawa harapan, ubat-ubatan dan kasih untuk rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang telah lama merasakan penderitaan. Namun, di tengah lautan, misi kemanusiaan ini telah dihalang sebelum sempat tiba ke destinasi.

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dalam detik cemas ini, kita semua perlu bersatu dalam doa dan solat hajat. Doakan agar setiap usaha murni mereka dipermudah, keselamatan mereka dijaga dan semangat perjuangan ini terus menyala walau di mana pun mereka berada,” katanya.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis daripada 25 negara, dengan menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad dipintas tentera Zionis pada semalam ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil manakala seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan