AM

Pembangunan Kg Sungai Baru: Dasar Wajibkan Pemilikan Mampu Milik Melayu Bakal Digubal - Dr Zaliha

09/10/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Dasar bagi mewajibkan dan mewujudkan kategori pemilikan mampu milik Melayu, akan digubal sebagai langkah ke hadapan untuk meningkatkan peratusan pemilikan orang Melayu dalam pembangunan Kampung Sungai Baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Jabatan Wilayah Persekutuan, juga diarah merangka dan mengkaji pelaksanaan dasar serta inisiatif baharu itu.

Beliau berkata dasar itu, merangkumi potensi penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam pembangunan projek dengan penetapan syarat bahawa rumah ganti hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu.

“Selaras dengan ketetapan dasar DBKL, saya telah mengarahkan satu dokumen dasar digubal, yang mewajibkan kepelbagaian jenis pembangunan, khususnya di kawasan Kampung Sungai Baru.

“Langkah ini supaya dapat diwujudkan kategori baharu seperti kondominium mampu milik Melayu, SOHO (pejabat rumah kecil) mampu milik Melayu, rumah kedai mampu milik Melayu dan ruang pejabat mampu milik Melayu, selain daripada meneruskan projek Residensi MADANI dan Residensi Wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri berkenaan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru Ke Arah Pemerkasaan Identiti Melayu Di Kuala Lumpur, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, Dr Zaliha telah meminta pemaju untuk mewujudkan pasukan petugas yang meneliti kepentingan dan keutamaan orang Melayu, dalam pembangunan Kampung Sungai Baru.

“Ini termasuk kerjasama dengan GLC seperti UDA Holdings atau menubuhkan konsortium yang mengumpulkan syarikat-syarikat pembangunan GLC yang lain, bagi memastikan kepentingan dan pemilikan orang Melayu kekal terjaga.

“Pihak pemaju juga telah menyatakan keterbukaan mereka untuk meneruskan perbincangan terkait perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata keutamaan Kerajaan MADANI adalah untuk menyelesaikan pembangunan di Kampung Sungai Baru sesegera mungkin, berikutan isu berkenaan telah diwarisi menelusuri beberapa pentadbiran kerajaan.

Dr Zaliha berkata hasrat pemilik yang terlibat dalam projek itu ialah pelaksanaannya dapat disegerakan, memandangkan mereka telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan hak mereka yang sewajarnya.

“Saya menekan dan mendesak pemaju untuk segera memulakan projek pembangunan ini, yang akhirnya dapat membawa semula majoriti yang bersetuju ke Kampung Sungai Baru, memandangkan projek ini tertangguh hampir sembilan tahun sejak rundingan dimulakan pada tahun 2016.

“Apa yang lebih penting, rumah gantian perlu disiapkan segera. Selagi projek ini tidak disiapkan, kumpulan yang bersetuju ini tidak akan dapat kembali ke Kampung Sungai Baru...Saya dimaklumkan seramai 40 orang daripada kumpulan majoriti ini telah meninggal dunia dan tidak sempat kembali semula menduduki Kampung Sungai Baru,” katanya.

Pada 11 Sept, media melaporkan suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran, enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan