AM

MINDEF Bangunkan Dokumen Rasmi Pembangunan Teknologi Dron - Adly

09/10/2025 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang membangunkan dokumen rasmi mengenai pembangunan teknologi dron dan antidron pertahanan bagi mengurangkan kebergantungan pada teknologi asing selain mewujudkan ekosistem industri pertahanan berteknologi tinggi dan berdaya saing. 

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata dokumen terbabit sedang dibangunkan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS). 

“Penyelidikan merangkumi pembangunan dron untuk tujuan perisikan, pengawasan dan peninjauan melibatkan prototaip untuk tiga jenis dron udara secara kolaboratif bersama dengan rakan industri tempatan. 

“Inisiatif ini juga memberikan penekanan kepada pembangunan berasaskan teknologi tempatan bagi menjamin kemandirian dan merangsang pertumbuhan industri pertahanan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang ingin tahu jika kerajaan telah melabur dalam usaha pemodenan aset ketenteraan negara, khususnya dalam pembelian dron dan peralatan laser bagi pertahanan negara.

Adly memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan perolehan dron ANKA Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) buatan Turkish Aerospace Industries sebagai sebahagian usaha pemodenan menyeluruh bagi meningkatkan keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan jarak jauh, khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan. 

Menjawab soalan tambahan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk menawarkan veteran berkepakaran terlibat dalam projek penyelidikan dan pembangunan (R&D), Adly berkata kerajaan juga berhasrat melibatkan veteran bidang pertahanan supaya kepakaran mereka terus dimanfaatkan.

“Memang ada satu dasar mahu bawa hampir 30 peratus veteran kita ke industri pertahanan kerana kerajaan sudah membelanjakan jumlah yang agak besar untuk membina kepakaran mereka, kalau kita hentikan kepakaran itu sekadar pencen sahaja, sebenarnya ia kerugian buat negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan