SUKAN

Jurulatih Uruguay, Bielsa Tidak Bawa Darwin Nunez, Ugarte Untuk Aksi Di Malaysia

09/10/2025 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Harapan peminat tempatan untuk menyaksikan aksi beberapa bintang utama Uruguay tidak kesampaian apabila lima nama besar skuad itu tidak disenaraikan bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung di Malaysia akibat faktor kecederaan dan kesihatan.

Pengurus Uruguay Marcelo Bielsa yang mengesahkan perkara itu berkata keputusan untuk tidak menyenaraikan mereka juga merupakan sebahagian daripada perancangan yang lebih besar untuk menilai lebih ramai pemain menjelang Piala Dunia FIFA 2026.

“Pemain-pemain yang saya senaraikan perlu mendapat peluang beraksi bersama pasukan menjelang Piala Dunia dan kami sudah pasti akan memberi perhatian sebahagian besar daripada mereka.

“Apabila Piala Dunia semakin hampir, penting untuk melihat keseluruhan pilihan pemain yang berpotensi untuk beraksi di kejohanan itu pada Jun 2026,” katanya dalam sidang media praperlawanan menentang Republik Dominica di sini hari ini.

Lima bintang Uruguay yang tidak akan beraksi di sini ialah Jose Maria Gimenez (Atletico Madrid), Darwin Nunez (Al-Hilal), Federico Valverde (Real Madrid), Ronald Araujo (FC Barcelona) dan Manuel Ugarte (Manchester United).

Ditanya perlawanan menentang Republik Dominica di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok, bekas pengurus Leeds United dan Athletic Bilbao itu berkata beliau menjangkakan pasukan kendalian Marcelo Neveleff akan memberikan tentangan sengit kerana pasukan itu turut mempunyai beberapa pemain yang hebat.

Sementara itu, pemain tengah Uruguay Rodrigo Zalazar mengakui bahawa cuaca panas dan lembap di Malaysia merupakan cabaran sebenar bagi skuad itu walaupun mereka sedang menyesuaikan diri dengannya.

Zalazar yang beraksi bersama kelab Portugal, S.C. Braga berkata kesemua pemain Uruguay sangat teruja untuk beraksi di Malaysia dan amat menantikan detik berkenaan.

Sementara itu, Neveleff merakamkan penghargaan kepada penganjur atas jemputan berkenaan dan menyifatkan ia satu penghormatan kepada pasukannya untuk berdepan lawan bertaraf dunia seperti Uruguay.

“Kami sangat gembira kerana berpeluang untuk menguji pasukan yang diketahui ramai sebagai antara skuad antarabangsa yang hebat terutama kerana kualiti barisan pemain termasuk di bangku simpanan, selain faktor Bielsa sendiri, nama yang cukup disegani ramai jurulatih. Ini satu penghormatan,” katanya.

Selepas perlawanan menentang Republik Dominica, Uruguay akan menamatkan jelajah mereka dengan berdepan Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 13 Oktober.

Uruguay kini menduduki tangga ke-15 dunia, manakala Republik Dominica berada di kedudukan ke-142 dan Uzbekistan di tempat ke-54.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan