DUNIA

Malaysia Teguh Pertahan Sempadan Maritim, Kekal Komited Terhadap Keamanan Dan Diplomasi

09/10/2025 09:56 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia kekal berwaspada dalam melindungi sempadan maritimnya melalui penyelarasan rapat antara agensi-agensi penguatkuasaan, sambil terus berpegang teguh kepada komitmen kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan mengutamakan diplomasi.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Datin Paduka Dr Adina Kamarudin berkata keluasan perairan Malaysia menuntut pemantauan berterusan serta penglibatan dan kerjasama aktif daripada pelbagai agensi berkaitan.

“Walaupun Malaysia secara konsisten mengangkat diplomasi sebagai asas dasar luar negaranya, keamanan tidak boleh disalah tafsir sebagai sikap leka dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama TV, Bernama World bertajuk, “Malaysia And The Sea: Understanding Our Rights, Strengthening Our Voice” pada Khamis. 

Menurut Adina, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berperanan sebagai pengawal pantai negara dengan menguatkuasakan undang-undang maritim dan melindungi kepentingan negara di perairan Malaysia, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia memainkan peranan penting dalam mempertahankan sempadan luar zon maritim Malaysia, khususnya dalam operasi pertahanan dan pemantauan.

Lebih hampir ke pesisir pantai, Pasukan Polis Marin mengekalkan undang-undang dan ketenteraman, manakala Jabatan Laut bertanggungjawab terhadap operasi pelabuhan serta keselamatan di kawasan maritim komersial.

Beliau berkata agensi berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan zon maritim Malaysia kekal selamat daripada pencerobohan, penyeludupan dan ancaman rentas sempadan lain.

Kerjasama antara agensi bukan sahaja meningkatkan perlindungan sempadan, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara maritim yang bertanggungjawab di rantau ini, katanya.

“Kementerian Luar melalui Jabatan Hal Ehwal Maritim menyelaras dengan agensi ini bagi memastikan diplomasi maritim Malaysia selaras dengan objektif keselamatan negara,” katanya.

Adina menambah bahawa pendekatan Malaysia mencerminkan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar negara menonjolkan kekuatan melalui diplomasi, bukan penguasaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan