AM

Isu Konflik Di Gaza: Malaysia Pilih Penyelesaian Damai, Bukan Pakatan Ketenteraan Islam

09/10/2025 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia kekal memilih penyelesaian secara aman melalui diplomasi dan rundingan, berbanding penubuhan pakatan ketenteraan Islam seperti dicadangkan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani, bagi menghadapi dasar penindasan Israel di Gaza.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata dasar luar Malaysia berpegang kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, selain menentang penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Malaysia berpandangan sebarang bentuk kerjasama hendaklah bersifat menyeluruh, tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan, tetapi turut merangkumi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan objektif keamanan dan kesejahteraan dapat dicapai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung pendirian rasmi Malaysia terhadap gesaan Perdana Menteri Iraq itu, supaya ditubuhkan pakatan ketenteraan negara Islam bagi menghadapi dasar penindasan Israel.

Mohamad berkata cadangan Mohammed Shia pada 14 Sept lepas tidak diusulkan semasa Sidang Kemuncak Arab-Islam di Qatar, namun Malaysia bersedia menyertai operasi pengaman di Palestin sekiranya diwujudkan di bawah panji PBB, seperti penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Pasukan Interim PBB (UNIFIL) di Lubnan.

Beliau berkata Malaysia terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui koordinasi Kementerian Luar bersama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk perwakilan di rantau itu yang memainkan peranan penting dalam pengagihan di lapangan.

“Sekiranya wujud kerjasama lebih erat dalam kalangan negara Islam, termasuk dari segi penyelarasan bantuan, ia berpotensi memperkukuh solidariti umat Islam serta meningkatkan keberkesanan usaha membantu rakyat Palestin,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin berhubung usul Presiden Colombia Gustavo Petro di Perhimpunan Agung PBB untuk menubuhkan pakatan ketenteraan antarabangsa bagi menghentikan genosid di Gaza, Mohamad berkata Malaysia kekal komited menyokong sebarang misi pengaman di bawah mandat PBB dan akan bertindak mengikut ketetapan badan dunia itu.

“Jika ada usul sedemikian daripada PBB, kita akan ikut. Seperti penyertaan ATM melalui Batalion Malaysia (MALBATT) kita sekarang di bawah panji PBB, Malaysia sebagai anggota PBB akan terikat untuk turut serta dalam apa juga misi pengaman ketenteraan di bawah mandat PBB, insya-Allah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai pendirian Malaysia terhadap pelan damai 20 perkara serta kesannya terhadap masa depan rakyat Palestin dan proses keamanan di Asia Barat, Mohamad berkata Malaysia mengambil maklum dan menyambut baik pelan itu, yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 29 Sept lepas di Washington DC.

Beliau berkata pengumuman Trump semalam bahawa Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan berkenaan, menunjukkan perkembangan positif ke arah gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.

“Fasa pertama ini melibatkan pelaksanaan gencatan senjata, pertukaran tahanan, pengunduran tentera Israel dari Gaza ke garisan perimeter yang dipersetujui, serta kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza,” katanya.

Mohamad berkata pelan damai itu membuka ruang penting untuk menghentikan genosid dan kemusnahan di Gaza, selain memulakan misi kemanusiaan antarabangsa dengan penyertaan negara seperti Qatar, Mesir dan Turkiye.

“Malaysia akan terus mengambil ruang dan peluang dengan hubungan baik yang sedia ada bagi membantu memastikan rundingan di Sharm el-Sheikh, menjadi titik permulaan ke arah gencatan senjata sepenuhnya serta kemasukan segera misi kemanusiaan,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan