EKONOMI

Midea Sasar Perolehan US$1.5 Bilion Di Asia Pasifik Menjelang 2028

09/10/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Midea menetapkan sasaran untuk menjadi syarikat perkakasan rumah pintar nombor satu di dunia, dengan sasaran hasil jualan sebanyak  US$1.5 bilion di Asia Pasifik (APAC) menjelang 2028.

Presiden Midea Rantau Asia Pasifik Zeal Jiang dalam satu kenyataan berkata sasaran itu sejajar dengan strategi syarikat, iaitu terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi pintar, meningkatkan rangkaian pengeluaran dan perkhidmatan serantau serta mengeratkan kerjasama dengan rakan kongsi di seluruh rantau APAC.

Midea, iaitu syarikat teknologi global dan peneraju dalam pengeluaran peralatan rumah, baru-baru ini,  buat kali pertamanya menganjurkan persidangan bertemakan ‘Ke Arah Pencapaian Mercu’ di Bali untuk pengedar di Asia Pasifik, yang disertai 450 rakan kongsi dari seluruh rantau itu.

“Ke Arah Pencapaian Mercu dipacu oleh tiga elemen utama, iaitu kepimpinan teknologi, pengkhususan produk mengikut keperluan tempatan dan kerjasama industri kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, persidangan yang memberi tumpuan kepada inovasi terbaharu Midea menerusi lima zon pengalaman, selain mengenengahkan komitmennya untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam pasaran seperti Malaysia melalui latihan teknikal berterusan, perkhidmatan yang cemerlang dan kerjasama erat dengan masyarakat.

Kenyataan itu juga berkata Midea terus memacu inovasi bagi meningkatkan pertumbuhan globalnya, susulan pelaburan sebanyak US$10 bilion dalam R&D sejak lima tahun lalu, hasil sokongan lebih 23,000 profesional dalam bidang R&D.

Katanya, syarikat tersebut telah memperoleh 100,000 paten, menerima 470 anugerah teknologi utama, dan menyumbang kepada lebih 1,900 piawaian teknologi kepada kedua-dua sektor perusahaan dan pengguna.

Menurut kenyataan itu, Kumpulan Midea juga komited untuk melabur lebih 50 bilion yuan (US$6.96 bilion) dalam tempoh tiga tahun, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI), tenaga baharu, robotik termaju dan teknologi terkandung, berikutan pelancaran pembantu rumah tangga robot humanoid MIRA di Persidangan AI Dunia 2025.

Sehingga kini, Midea mengendalikan 63 pusat pengeluaran di seluruh dunia, termasuk sembilan di Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Tahun ini, kilangnya di Thailand telah dipilih sebagai ‘World Economic Forum Lighthouse Factory for Supply Chain Resilience’, iaitu kilang rumah api pertama di luar negara dalam industri pendingin hawa global dan kilang pertama di Asia Tenggara yang dihubungkan sepenuhnya dengan rangkaian 5G.

Menurut kenyataan itu, ia berjaya mencapai lebih 40 peratus penjimatan tenaga seunit dan pengurangan 68.3 peratus dalam pelepasan karbon. 

“Bagi meningkatkan sokongan selepas jualan, Midea telah menerbitkan Aplikasi Kelab Midea di seluruh APAC, untuk meningkatkan keupayaan juruteknik dalam menguruskan perkhidmatan utama seperti penghantaran produk, pemasangan, latihan dan jaminan dalam satu platform.

“Syarikat juga menganjurkan lebih 200 program latihan dan perkhidmatan setiap tahun, dengan menyasarkan 30,000 jurutera dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan hari ini bekerjasama dengan lebih 1,800 pusat perkhidmatan langsung dan rakan kongsi yang sah di seluruh rantau ini,” tambahnya. 

Di Malaysia, komitmen itu termasuk sesi latihan suku tahun bagi meningkatkan kemahiran juruteknik tempatan, sekali gus memastikan perkhidmatan berkualiti dan kepuasan pelanggan seiring dengan piawaian global.

Kenyataan itu berkata Kumpulan Midea turut terpilih untuk disenaraikan dalam Buku Tahunan Kelestarian 2025 (Edisi China) oleh S&P Global untuk prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya yang cemerlang, mempamerkan sumbangan merentas APC seperti bantuan bencana, sokongan komuniti dan pemuliharaan alam sekitar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan