KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui kesilapan beliau dalam penganjuran majlis makan malam gala sempena acara Global Travel Meet yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut menzahirkan kekesalan berhubung kontroversi menghidangkan minuman beralkohol pada majlis itu sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“Saya dan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dengan penuh tanggungjawab amat kesal atas sebarang kekeliruan atau salah faham hingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat. Segala kesulitan amat dikesali.
“Saya sepatutnya mengumumkan pada malam itu bahawa majlis makan malam gala ini sudah jadi majlis tertutup. Saya akui kesilapan kerana tidak mengumumkannya lebih awal,” katanya.
Tiong menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung garis panduan kementerian bagi memastikan majlis rasmi termasuk yang ditaja pihak swasta atau industri mematuhi Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 khususnya larangan menghidang minuman beralkohol dalam program rasmi kerajaan.
Beliau juga berkata MOTAC memandang serius segala maklum balas rakyat berhubung isu itu dan pada masa sama, menghargai teguran serta nasihat membina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara tersebut.
Tiong turut memberi jaminan bahawa MOSTI akan terus memastikan setiap penglibatan rasmi selepas ini mematuhi garis panduan kerajaan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai impak Global Travel Meet, beliau berkata acara itu berjaya menarik penyertaan hampir 600 pemain industri pelancongan dari luar negara.
Katanya acara tiga hari itu juga berjaya merekodkan transaksi keseluruhan sebanyak RM420 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial