KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 diharap dapat memberikan peruntukan lebih besar untuk kebajikan dan pembangunan kanak-kanak, khususnya golongan berkeperluan khas dan rentan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sehubungan dengan itu, Ahli Parlimen diseru supaya menggunakan peluang yang ada untuk menyuarakan perkara berkenaan kepada kerajaan.
Nancy turut menekankan keperluan meningkatkan aspek infrastruktur, terutamanya bagi membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap untuk meneruskan persekolahan mereka, selain isu kesihatan mental dan fizikal.
“Memang kita harapkan agar lebih bajet (peruntukan) diberikan kepada (kanak-kanak), terutama sekali kepada kanak-kanak dengan kelemahan macam autisme,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) kepada Ahli Parlimen di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Mohd Daud Mohd Arif.
Terdahulu, Nancy dalam ucapannya menggesa Ahli Parlimen supaya meletakkan hak kanak-kanak sebagai keutamaan dalam menggubal dasar dan keputusan belanjawan negara kerana Parlimen memainkan peranan penting dalam membentuk perundangan dan peruntukan kewangan yang memberikan kesan terhadap kehidupan kanak-kanak di Malaysia.
"Saya menyeru kepada semua Ahli Parlimen, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, agar bersatu dalam menjadikan hak kanak-kanak sebagai keutamaan negara yang sebenar. Isu seperti perlindungan, pendidikan, pemakanan, persekitaran dan perlindungan sosial kanak-kanak bukan milik mana-mana parti, tetapi milik kanak-kanak di Malaysia dan juga milik kita semua," katanya.
Menjelang sesi dialog Malaysia bersama dengan Jawatankuasa Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Januari 2026, Nancy turut mengakui tekanan dihadapi kerajaan pada semakan akan datang, sambil menjelaskan bahawa KPWKM sedang giat membuat persiapan untuk dialog itu, yang akan menilai tahap pematuhan negara terhadap CRC.
"Bunyinya mudah, tetapi sebenarnya sangat mendebarkan kerana bukan senang untuk menghadapinya, seperti menduduki peperiksaan atau viva. Namun, untuk viva mungkin kita tahu beberapa panduan, dalam hal ini kita tidak tahu perkara yang bakal disoal, jadi kami memerlukan sokongan anda," katanya.
Sementara itu, Johari dalam ucapannya menegaskan komitmen Parlimen untuk melindungi kanak-kanak dan memperkasakan belia, dengan menyeru agar badan perundangan menjadi ruang yang mendengar dan bertindak demi generasi masa hadapan.
Beliau turut menekankan usaha untuk mendekatkan Parlimen kepada rakyat melalui inisiatif berorientasikan belia seperti Sekolah Parlimen, Parlimen Belia dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bertujuan mendidik dan melibatkan golongan muda Malaysia dalam tadbir urus dan pembinaan negara.
"Tahun ini menandakan tiga dekad sejak Malaysia meratifikasi CRC, namun CRC bukan sekadar dokumen dari 1995, tetapi satu komitmen yang hidup," katanya dan menambah bahawa Malaysia bersiap sedia menyertai sesi dialog itu tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial