AM

Kes Influenza Di Kelantan Meningkat, Lima Kluster Sekolah Dikesan

08/10/2025 12:42 PM

KOTA BHARU, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan berlaku peningkatan kes influenza dengan lima kluster dilaporkan melibatkan institusi pendidikan khususnya di sekolah berasrama, kata Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata walaupun influenza merupakan penyakit ringan dan lazimnya sembuh dalam tempoh seminggu, jumlah pesakit yang hadir ke klinik menunjukkan peningkatan ketara sejak minggu epidemiologi (ME) ke-40.

“Setakat ini, tiada pesakit yang dimasukkan ke wad atau mengalami komplikasi serius. Namun, peningkatan kes yang datang ke klinik menunjukkan penularan aktif dalam komuniti.

"Lima kluster dikenal pasti setakat ini melibatkan institusi pendidikan dan mencatatkan 514 kes," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Operasi Selamat Paru-Paru (Malam) sempena Penguatkuasaan Penuh Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) peringkat negeri di Cawangan Kawalan Kota Bharu, malam tadi.

Dr Zaini berkata semua kluster adalah daripada sekolah berasrama dan penutupan asrama terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri yang boleh dilaksanakan jika kesihatan pelajar terjejas.

Menurut beliau, sesuatu kluster influenza ditakrifkan apabila terdapat dua atau lebih kes yang mempunyai kaitan epidemiologi dan walaupun influenza tidak termasuk dalam senarai penyakit wajib notifikasi, pemantauan berterusan tetap dijalankan.

“Individu yang bergejala dinasihatkan memakai pelitup muka, selain mengelak daripada menghadiri tempat awam atau majlis keramaian.

“Pihak sekolah juga perlu memantau kesihatan pelajar secara konsisten dan memberi kefahaman kepada ibu bapa mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan jangkitan,” katanya.

Dr Zaini berkata jika terdapat kes di sekolah, pihak pengurusan digalakkan melaksanakan langkah pengasingan dan kuarantin terhadap pelajar bergejala.

“Keadaan semasa masih terkawal dan tiada kematian dilaporkan. Jabatan kesihatan sentiasa berhubung dengan JPN bagi tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan