KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat meneruskan siasatan lanjut berhubung kes rakyat Malaysia P. Pannir Selvam yang kini menunggu hukuman gantung di Singapura berikutan ketiadaan sebarang maklumat atau bukti baharu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata usaha mendapatkan bukti baharu termasuk lawatan pihak JSJN ke Penjara Changi, Singapura pada 27 Sept lepas tidak menemukan sebarang maklumat yang membolehkan siasatan lanjut dijalankan di Malaysia.
Beliau berkata siasatan JSJN sebelum ini bermula selepas pihak Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dan ahli keluarga Pannir Selvam memaklumkan banduan itu telah diperdaya oleh seorang suspek untuk membawa dadah ke republik berkenaan.
“JSJN telah mengenal pasti individu yang dimaksudkan pada 2022 dan Februari 2025. Namun, siasatan mendapati maklumat yang diberikan tidak mempunyai nilai operasi dan tidak boleh mengaitkan individu itu dengan kes yang melibatkan Pannir Selvam,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata Pannir Selvam ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura pada 3 Sept 2014 kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin seberat 1,833.2 gram.
Berikutan itu, dia didakwa di mahkamah Singapura di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 dan mengaku tidak bersalah.
“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya pada 2 Mei 2017,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata PDRM menghormati kedaulatan undang-undang negara lain dan berpegang pada prinsip tidak campur tangan, namun tetap berusaha mencari keadilan dengan mengekalkan prinsip kedaulatan undang-undang.
“PDRM amat memahami denyut nadi ahli keluarga dan masyarakat Malaysia yang terlibat dalam sebarang insiden yang tidak diingini sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Namun, rakyat Malaysia diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang di negara yang dilawati, terutamanya dalam sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata JSJN komited dalam memerangi dadah yang juga musuh nombor satu negara dan menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial