SEREMBAN, 7 Okt (Bernama) -- Langkah proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan memberi taklimat mengenai Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 120 wakil syarikat serta individu.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat pengangkutan awam darat dan barangan mendaftar bagi menikmati subsidi petrol RON95.
“Hari ini kami melibatkan rakan-rakan strategik antaranya wakil syarikat petrol, kumpulan sasar, persatuan teksi, individu, entiti perniagaan bagi memberikan penerangan secara tepat dan menyeluruh mengenai pelaksanaan SKPS kepada semua pihak.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya kecelaruan maklumat di luar sana dan kami mahu pastikan agenda pelaksanaan penyasaran RON95 kerajaan ini sampai terus kepada rakyat dengan informasi dan maklumat yang betul dan tepat bukan melalui khabar angin, media sosial dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada program sesi penerangan SKPS di Dewan KPDN di sini hari ini.
Pengurus syarikat pembekal makanan, Kelvin, 30, menyifatkan penyasaran RON95 itu amat membantu, khususnya kepada pengusaha sepertinya kerana ia mampu mengurangkan kos operasi syarikat melalui penjimatan perbelanjaan petrol kenderaan.
“Dengan harga subsidi RM2.05 seliter berbanding RM2.60 di pasaran, perbezaannya agak besar dan memberi kesan langsung kepada kos operasi.
“Jika tidak mendaftar, kami tidak layak menikmati harga subsidi itu dan terpaksa membayar pada kadar biasa,” katanya, yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan penghantaran bekalan makanan di Johor Bahru dan Pahang.
Pemandu teksi R. Lechumanan, 72, berkata dia hadir ke sesi taklimat itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan SKPS kerana masih terdapat beberapa perkara yang kurang difahami.
“Selepas mendengar taklimat dan penerangan daripada pegawai KPDN, barulah saya benar-benar faham bagaimana proses mendapatkan subsidi melalui SKPS,” katanya.
Pendaftaran SKPS boleh dilakukan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan mereka mempunyai pertanyaan boleh hadir ke semua pejabat cawangan KPDN Negeri Sembilan dari 8 pagi hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial