KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia mampu melakar hala tujunya sendiri dengan berpandukan tadbir urus teguh atau berwibawa, kejelasan moral serta himpunan imaginasi golongan yang berani merealisasikannya, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Pada masa sama, ketidaktentuan tidak harus dilihat sebagai penamat aturan, sebaliknya satu permulaan kemungkinan, katanya ketika menutup Forum Megtrends Khazanah (KMF) 2025 yang bertemakan “Debugging Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant on Living with Risk” di sini, hari ini.
Amirul Feisal berkata forum itu juga berperanan sebagai satu peringatan bahawa dalam mengemudi landskap global yang tidak menentu, kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan untuk menggabungkan kebijaksanaan dengan imaginasi serta keberanian dengan keyakinan.
“Tema KMF ini sendiri amat bermakna dan ketidaktentuan bukanlah (bermakna) menyimpang daripada kemajuan, sebaliknya menjadi sebahagian perjalanan untuk merealisasikan kemajuan,” katanya.
Menyentuh perbincangan dalam acara dua hari itu, Amirul Feisal berkata forum tahunan itu terus menjadi platform pertemuan lontaran dasar, modal serta idea bagi menangani persoalan mendesak berkaitan risiko, daya tahan serta pembaharuan.
Beliau turut menyifatkan kesederhanaan dan imaginasi sebagai perkara penting dalam membangunkan sistem yang dapat kekal berdaya tahan di tengah-tengah kejutan yang melanda.
Tadbir urus yang berkesan, kata beliau, berperanan sebagai kompas moral yang mentransformasi risiko kepada inovasi.
“Sikap berhati-hati tidak semestinya sentiasa selamat dan dunia tidak akan berhenti bagi mereka yang ragu-ragu. Peranan kami sebagai pihak yang mengendalikan modal adalah untuk memelihara nilai, membentuk nilai dan diteruskan secara bertanggungjawab,” katanya.
Amirul Feisal juga menegaskan kepentingan pelaburan bagi masyarakat, pendidikan serta inovasi sosial kerana pertumbuhan mampan semata-mata tidak hanya bergantung kepada perbelanjaan modal tetapi juga pengukuhan kepercayaan serta modal insan.
Dalam pada itu, KMF 2025 yang berlangsung pada 6-7 Oktober 2025 dan edisi ke-20 penganjurannya, telah dihadiri oleh barisan pelabur, ahli akademik, usahawan serta penggubal dasar.
Ini sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform dialog dan kepimpinan pemikiran mengenai hala tuju ekonomi jangka panjang bagi Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial