SIBU, 7 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu e-hailing dipercayai memuat naik kenyataan berunsur ugutan menggunakan dialek Melanau, sambil mengacukan sebilah pisau dalam satu rakaman video di media sosial di Mukah petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah pada 5.30 petang.
“Turut dirampas sebilah parang, seunit telefon bimbit, sebuah kereta, topeng muka serta pakaian yang digunakan semasa rakaman video dibuat. Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Rizal berkata polis memperoleh perintah reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata pihak polis menerima laporan berhubung video berdurasi dua minit 16 saat yang tular di media sosial itu, memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata ugutan dalam dialek Melanau sambil mengacukan sebilah parang.
“Laporan diterima daripada seorang lelaki berumur 34 tahun, yang juga mangsa ugutan dan bekerja di sebuah syarikat swasta pada 6 Okt kira-kira 5 petang. Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berjaya ditangkap pada hari sama,” katanya.
Muhamad Rizal berkata siasatan mendapati pengadu dan suspek saling mengenali dan kejadian berpunca apabila pengadu menegur suspek atas tingkah laku yang kurang sopan, menyebabkan suspek berang, lalu memuat naik video berunsur ugutan di Facebook.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial