AM

MOT Rancang Integrasi Sistem GPS Dan JISA, Pantau Ketidakpatuhan Kenderaan Komersial

07/10/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang mengintegrasikan data daripada peranti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dengan sistem Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata inisiatif itu akan membolehkan pengesanan ketidakpatuhan kenderaan komersial secara masa nyata, termasuk kesalahan memandu melebihi had laju, penyimpangan laluan dan operasi di luar waktu yang dibenarkan.

Beliau berkata sistem itu yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2027 juga akan membolehkan modul audit serta pemantauan dilaksanakan secara berdikari dengan mekanisme pengesahan dan kawalan bagi memastikan proses audit dijalankan secara telus, cekap dan berintegriti.

“Inisiatif pendigitalan ini dijangka mempercepat pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan mengurangkan kerenah birokrasi, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mempercepat transformasi digital dalam sektor pengangkutan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Loke menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai rancangan pendigitalan proses audit bagi mempercepat pengesanan ketidakpatuhan dan mengurangkan birokrasi.

Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkaitan 60 peratus syarikat kenderaan komersial yang diaudit antara Jun dan Julai tahun ini didapati gagal mematuhi peraturan, Loke mengakui cabaran semasa ialah isu mengintegrasikan sistem GPS dengan platform JPJ bagi membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pada masa ini katanya, apabila berlaku kemalangan, data GPS perlu diperoleh daripada syarikat terbabit untuk menentukan sama ada pemandu memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“GPS sangat penting kerana ia membolehkan pemantauan pergerakan kenderaan, sama ada pemandu mematuhi had kelajuan, membawa muatan berlebihan atau memasuki kawasan larangan. Jika sistem GPS dapat diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem JPJ, pemantauan berterusan dapat dilaksanakan,” katanya.

Loke turut mengingatkan mengenai kepentingan pemasangan GPS bagi membolehkan pemantauan masa nyata pergerakan kenderaan serta memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan.

“Saya ingin membetulkan dakwaan bahawa kos pemasangan GPS adalah tinggi. Ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan GPS secara langganan, biasanya kira-kira RM50 hingga RM60 sebulan bagi setiap kenderaan atau kira-kira RM1 hingga RM2 sehari.

“Memang ada sikit kos tambahan, tetapi ini adalah aspek keselamatan yang perlu kita laksanakan dan ini bukan syarat baharu sebaliknya syarat ini dikenakan semasa lesen pengendali dikeluarkan,” katanya.

Mengenai tahap pematuhan umum, beliau berkata tahap pematuhan syarikat pengendali terhadap audit JISA masih rendah, berkemungkinan berpunca daripada tindakan penguatkuasaan sebelum ini yang tidak diambil secara serius.

Beliau berkata antara 2019 hingga 2022, audit seumpama itu jarang dijalankan malah semasa tempoh pandemik COVID-19, ia langsung tidak dilaksanakan.

“Kita hanya mula melaksanakannya dengan lebih aktif pada 2023 dan tahun lepas, JPJ telah mempertingkatkan usaha pemantauan. Tahun ini, jumlah audit telah meningkat dengan ketara. Saya percaya mesej tegas telah disampaikan kementerian, khususnya melalui JPJ kepada syarikat pengendali.

“Tindakan yang diambil juga tegas termasuk penggantungan lesen pengendali untuk tempoh tertentu sekiranya mereka gagal mematuhi JISA. Ini memberi isyarat jelas dan saya yakin tahap pematuhan terhadap audit JISA kini semakin baik,” katanya.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan