KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di tanah air pada 10 malam ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
“Malam esok, Rabu kita bersolidariti sekali lagi di Axiata Arena jam 6 petang. Saya dan rakan-rakan nak sampaikan mandat dan pesan dua tahun G (Gaza) dibantai badai genosid.
“Ya, hari ini 7 Okt bermakna sudah dua tahun mereka dibunuh. Ini bukan tentang kami, ia tentang mereka. Kami hanya menumpangkan semangat dan suara agar kita terus bertindak tanpa teragak, peduli tanpa henti. Ia tentang mereka,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kesemuanya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial