Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Melindungi ekosistem marin Malaysia bukan sahaja suatu keperluan alam sekitar tetapi juga satu bentuk insurans ekonomi yang menyokong infrastruktur industri perikanan, pelancongan dan pesisir pantai, kata seorang ahli pemuliharaan.
Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama Organisasi Penyelidikan MareCet Dr Louisa S Ponnampalam berkata ekosistem lautan, dari bekalan makanan laut, perlindungan pesisir sehingga penyediaan oksigen secara langsung menyokong kehidupan dan kesejahteraan negara.
Louisa mengetuai program pemuliharaan marin berasaskan sains dan komuniti.
"Kita merupakan sebuah negara maritim. Apabila kita menguruskan perikanan dengan bertanggungjawab, mengurangkan pencemaran dan merancang pembangunan pesisir dengan bijak, kita melindungi pekerjaan, keterjaminan makanan dan keyakinan pelabur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menghadiri Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2025 yang bertemakan “Debunking Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant on Living with Risk” di sini pada Isnin.
Pelancongan, tambahnya merupakan masa depan yang paling jelas.
"Terumbu karang yang sihat, paya bakau dan tumbuhan laut menarik pengunjung domestik dan antarabangsa. Ia juga melindungi pesisir pantai daripada ribut dan hakisan.
"Jika terumbu karang merosot dan pantai semakin hilang, pelancong akan pergi ke tempat lain. Setiap trip selam snorkel, lawatan menyelam atau percutian pesisir yang hilang merupakan pendapatan yang terlepas bagi pengendali tempatan, pengusaha hotel dan rangkaian bekalan," katanya.
Louisa menggesa perubahan sistemik bagi memadankan cita-cita dasar dengan pelaksanaannya selain meminta belanjawan khusus daripada kerajaan dan syarikat korporat untuk mengubah peta jalan alam sekitar sehingga menjadi hasil yang nyata di lapangan.
"Strategi tidak boleh hanya kekal di atas kertas. Segera peruntukkan dana, tetapkan pelan pelaksanaan dan ukur hasilnya. Pemuliharaan bukanlah satu keistimewaan; ia harus dilaksanakan secara besar-besaran.
"Kemampuan untuk membayar tetap menjadi halangan bagi banyak isi rumah dan peniaga kecil yang memerlukan alternatif praktikal dan kos rendah kepada plastik sekali guna serta insentif yang menjadikan pilihan lestari sebagai pilihan yang paling mudah," katanya.
Di peringkat korporat, beliau mengalu-alukan perubahan global daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) tradisional yang sering bersifat dermawan dan ad hoc kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diserapkan ke dalam operasi teras.
"ESG melebihi daripada sekadar pemberian cek. Ia mempersoal kepada syarikat bagaimana produk, perolehan, logistik dan sisa mereka memberi kesan kepada manusia dan planet serta menghendaki mereka untuk membuat penambahbaikan.
"Kerjasama antara syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan boleh mempercepatkan kesedaran kakitangan, pembaharuan rantaian bekalan dan projek komuniti selain turut memberi isyarat kepada pelabur bahawa risiko kelestarian sedang diuruskan," katanya.
Beliau berkata, tanda-tanda amaran penurunan ekosistem marin sudah pun kelihatan.
"Kerja lapangan dengan nelayan berskala kecil menunjukkan hasil tangkapan yang semakin berkurang di beberapa kawasan sementara penyelidik merekodkan penampakan spesies fauna marin utama yang semakin berkurang yang berkemungkinan berkaitan dengan berkurangnya binatang buruan selain habitat yang merosot.
"Alam sekitar, mata pencarian dan biodiversiti saling berkait rapat. Jika laut semakin lemah, ekonomi pesisir juga akan semakin lemah," katanya.
Louisa turut menggesa agar pendidikan alam sekitar dikembalikan dalam kurikulum nasional yang disokong dengan pembelajaran dan dipimpin oleh korporat serta kempen kesedaran awam.
"Kesedaran awam meningkat tetapi perubahan minda masih belum lengkap. Kita perlu sekolah, agensi dan perniagaan yang bergerak ke arah yang sama. Malaysia boleh meletakkan kedudukannya sebagai ekonomi yang berpandangan ke hadapan selain berdaya tahan dengan menganggap alam semula jadi sebagai infrastruktur strategik.
"Kita tidak boleh makan besi atau plastik. Air bersih, pantai yang sihat dan udara yang boleh dihirup merupakan asas kepada pertumbuhan. Lindungi laut dan kita juga melindungi ekonomi kita," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial