KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sebanyak 562 lesen pengendali kenderaan komersial telah digantung atau sedang dalam proses penggantungan menerusi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari 2019 hingga Ogos tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dalam tempoh sama, sebanyak 11 lesen pengendali telah dibatalkan manakala 12 permit kenderaan ditamatkan.
“Selain itu, sebanyak 56 permit kenderaan digantung dan 24 amaran dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan tindakan penguatkuasaan sebanyak 665.
“Kementerian akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut dan rawak bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang bertanyakan jumlah syarikat yang gagal mematuhi peraturan di bawah JISA serta tindakan yang diambil terhadap mereka.
Mengulas lanjut, Loke berkata berdasarkan rekod JPJ sehingga April tahun ini, terdapat sebanyak 48,002 syarikat pengendali kenderaan komersial berdaftar, manakala jumlah kenderaan komersial berlesen merangkumi bas dan lori di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) adalah sebanyak 372,586.
Beliau berkata sehingga September tahun ini, JPJ telah melaksanakan 7,228 audit di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) di seluruh negara, meliputi pelbagai kategori operasi.
“Pelaksanaan audit ini merupakan langkah berterusan bagi memastikan tahap pematuhan industri terhadap piawaian keselamatan sentiasa dipertingkat, sekali gus menyokong usaha Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kenderaan berat secara signifikan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Menurut Loke, audit JISA merangkumi lima elemen utama, iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod dan pengurusan risiko.
Beliau berkata setiap pengendali diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori di bawah Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemasangan dan pemantauan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), pematuhan masa pemanduan dan rehat, penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) serta penyediaan nombor hotline syarikat bagi tujuan aduan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial