DUNIA

Kekurangan Dana Paksa UNHCR Buang 5,000 Pekerja Seluruh Dunia

07/10/2025 11:26 AM

GENEVA, 7 Okt (Bernama-dpa) -- Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberhentikan hampir 5,000 pekerja di seluruh dunia tahun ini berikutan penurunan mendadak komitmen pembiayaan, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi berkata jumlah itu mewakili kira-kira satu perempat daripada keseluruhan tenaga kerja UNHCR yang kini hilang pekerjaan.

Setakat Jun 2024, UNHCR mempunyai kira-kira 15,400 kakitangan tetap dan 4,400 pekerja lain di lebih 130 negara, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 20,000 orang.

Langkah pengurangan terbabit selaras dengan keadaan kewangan semasa agensi berkenaan.

UNHCR dijangka beroperasi dengan dana sekitar AS$3.9 bilion menjelang akhir tahun, mencatatkan pengurangan hampir satu perempat berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Akibat kekangan kewangan itu, beberapa aktiviti UNHCR telah dihentikan, termasuk program bantuan kepada mangsa penyeksaan.

Beberapa sekolah pelarian terpaksa ditutup, manakala bantuan makanan dan kewangan kepada pelarian turut dipotong.

Grandi tidak mengulas secara langsung mengenai pengurangan besar dalam dana bantuan dari Amerika Syarikat yang turut memberi kesan besar kepada operasi UNHCR.

Namun beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perdebatan semasa di Eropah serta amalan penghantaran pulang pelarian oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, yang menurutnya tidak sejajar dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Grandi, kebanyakan daripada 122 juta pelarian dan individu yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia bukan berada di Amerika Utara atau Eropah, tetapi di negara-negara berpendapatan rendah yang menampung beban pelarian global.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan