KUANTAN, 6 Okt (Bernama) -- Lapan buah rumah di beberapa kawasan di daerah Raub mengalami kerosakan, susulan hujan lebat dan ribut yang melanda daerah itu petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Raub Kapten (PA) Samasuddin Kambade berkata kejadian sekitar 3 petang itu, mengakibatkan lapan rumah yang terletak di Kampung Melayu Sempalit, Taman Amalina Lestari dan di Jalan Lipis, terjejas.
Beliau berkata kejadian berkenaan mengakibatkan kerosakan rumah pada bahagian bumbung, bilik tidur selain dapur, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini.
“Setakat 10 malam hanya lapan rumah dilaporkan terjejas dan APM Raub telah ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat serta menyerahkan kit makanan, selain melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata hujan lebat berterusan sejak 6 petang tadi, mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air antaranya Taman Perumahan Galing, Kampung Galing dan Jalan Stadium.
Beliau memaklumkan beberapa anggota Balai Polis Kuantan berada di lokasi, bagi memantau situasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial