AM

TH Lancar Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik”

06/10/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik” untuk membantu pendeposit meningkatkan ilmu pengurusan kewangan dan seterusnya membina simpanan menunaikan ibadat haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad dalam kenyataan hari ini, memaklumkan TH dengan kerjasama strategik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyasarkan kira-kira 100 keluarga muda sebagai perintis dari sekitar Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata program itu akan dijadikan titik permulaan untuk membina tabiat kewangan positif dan melahirkan generasi celik kewangan yang bersedia mencapai impian menunaikan rukun Islam kelima mereka pada masa hadapan.

“Berdasarkan statistik terkini, 53 peratus pendeposit TH mempunyai baki simpanan kurang daripada RM1,300 dan kira-kira separuh daripada bakal jemaah pada musim 1446H/2025M yang lepas terpaksa menolak tawaran haji kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi.

“Trend ini membuktikan keperluan untuk TH mendidik masyarakat Islam terutama pendeposit mengenai pengurusan kewangan dan membudayakan amalan menabung secara konsisten demi mencapai matlamat menunaikan ibadah haji,” katanya. 

TH memaklumkan program “Cilik-Cilik Dah Celik” mempunyai enam modul literasi kewangan merangkumi transformasi minda, perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai, membina kekayaan, perlindungan daripada penipuan kewangan serta pengurusan hutang.

“Sepanjang program selama enam bulan, ibu bapa akan dibimbing secara berterusan melalui bengkel pendidikan kewangan, sesi simulasi kewangan, pembelajaran atas talian, gamifikasi dan pemantauan simpanan anak secara konsisten.

“Sebagai galakan, peserta layak menerima ganjaran bulanan dan hadiah utama berdasarkan komitmen, konsistensi dan pencapaian simpanan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TH memilih ibu bapa muda dengan anak bersekolah sebagai kumpulan sasaran kerana mereka berada pada fasa kritikal pembentukan tabiat kewangan keluarga. 

“Anak-anak mudah meniru teladan ibu bapa, sementara ibu bapa muda pula sedang berdepan komitmen penting seperti pendidikan, perumahan dan kos sara hidup.

“Dengan membimbing golongan ini lebih awal, TH bukan sahaja membantu mereka mengurus kewangan harian dengan lebih baik tetapi juga melahirkan generasi celik kewangan yang berterusan,” katanya.

Seorang peserta Nurul Alieya Jusoh yang mendaftar bersama suami dan anak berkata teruja untuk menyertai program itu kerana ingin belajar cara mengurus kewangan dengan lebih berdisiplin.

“Harapan saya agar anak-anak dapat menabung sejak kecil dan akhirnya kami lebih bersedia untuk menunaikan ibadat haji nanti,” katanya. 

Selain itu, seiring perkembangan digital masa kini, TH turut memberi penekanan kepada pencegahan penipuan kewangan iaitu peserta akan didedahkan cara mengenal pasti scammer (penipu) bagi melindungi data peribadi dan cara melaporkan cubaan penipuan kepada pihak berkuasa.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan