EKONOMI

Malaysia Akan Permudahkan Kemasukan Eksport Daging Lembu Dari Pakistan - PM Anwar

06/10/2025 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia akan memudahkan kemasukan eksport produk pertanian dan ternakan dari Pakistan termasuk daging lembu dan jenis daging lain ke negara ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi eksport pertanian, Malaysia meningkatkan import beras dari Pakistan.  

"Terdapat minat untuk mengeksport daging dan daging lembu ke Malaysia. Sudah tentunya kita akan memudahkan perkara ini. 

“Memandangkan anda (Shehbaz) telah memberi jaminan kepada kami bahawa harga akan kompetitif, kami sudah pastinya akan melakukan apa yang perlu (untuk memudahkan eksport daging) yang bernilai sehingga US$200 juta,”  kata Anwar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Anwar berkata hubungan Malaysia dan Pakistan telah terjalin sejak 1957, apabila Malaysia mencapai kemerdekaannya -- sedekad selepas kemerdekaan Pakistan sendiri.

“Hubungan sejarah, budaya, pendidikan, penyelidikan, pertahanan telah diwujudkan dan kerjasama ekonomi yang sentiasa berkembang diberi tumpuan sejak awal lagi.

“Aspirasi bersama kita adalah kita perlu meningkatkan lagi kerjasama dalam semua bidang,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata antara bidang yang boleh diteroka bersama termasuklah kerjasama dalam pertahanan, pertanian dan tenaga boleh baharu, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.

Menurut beliau, Shehbaz juga menggalakkan kedua-dua negara untuk mewujudkan kerjasama lebih erat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), inovasi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), digital, elektrik dan elektronik, serta semikonduktor.

"Saya fikir ini adalah bidang baharu (untuk diteroka). Pakistan adalah antara negara Islam yang pada mulanya jelas jauh ke hadapan dalam bidang ini.

“Oleh itu, potensi itu masih lagi ada sekarang, (memandangkan) kita telah mencapai kestabilan di negara ini dan kita pastinya mengalu-alukan kerjasama,” kata beliau.

Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama Shehbaz ke Malaysia sejak mengambil alih jawatan pada 4 Mac, 2024.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan bersama, Anwar dan Shehbaz berkata terdapat potensi besar dalam perdagangan dan pelaburan dua hala dan berpuas hati dengan usaha berterusan untuk meningkatkannya.

Kedua-dua pemimpin komited untuk menggalakkan keseimbangan dan hubungan ekonomi mampan melalui akses pasaran yang dipertingkat, pemudahan perniagaan dan pelaksanaan berkesan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia–Pakistan (MPCEPA).

Malaysia juga melahirkan hasrat untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan, sejajar dengan peningkatan permintaan dalam sektor pemprosesan dan pembuatan makanan di negara itu.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memastikan rantaian bekalan yang stabil dan mampan, sambil mengekalkan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," kata kenyataan itu.

Selain itu, Anwar dan Shehbaz juga melihat bahawa permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat.

 Justeru, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang halal dan komited untuk memudahkan pengiktirafan bersama serta berkongsi amalan terbaik dalam pensijilan halal, meningkatkan bekalan makanan dan pembuatan produk.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan kepentingan amalan pertanian mampan dan bersetuju untuk meneroka penyelidikan bersama, inovasi dan pembangunan kaedah pengeluaran pertanian mampan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan