ALOR SETAR, 5 Okt (Bernama) -- Balai Polis Langgar, dekat sini tidak dapat beroperasi buat sementara waktu akibat banjir sejak semalam, kata Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.
Beliau berkata Sistem Laporan Polis Bersepadu (IPRS) telah ditutup sementara kerana balai berkenaan digenangi air dan orang ramai boleh membuat laporan di balai polis lain yang berdekatan.
“Air naik secara mendadak akibat hujan lebat semalam dan pada 6 petang, air telah memenuhi kawasan balai dengan dianggarkan kedalaman air di dalam balai kira-kira 0.13 meter,” katanya kepada Bernama hari ini.
Adzli berkata selain terletak di kawasan rendah, kejadian berkenaan turut berpunca akibat masalah parit tersumbat dengan rumput serta sampah dan pihaknya telah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan pembersihan di hadapan balai.
Sementara itu, beliau berkata segala dokumen dan aset penting tidak terjejas dalam kejadian itu kerana telah dipindahkan ke tempat yang selamat.
“Di balai ini juga ada 10 unit berek dengan hanya lima unit di tingkat bawah dinaiki air sedikit tetapi mereka yang menetap di situ tidak berpindah,” katanya.
Petang tadi, Adzli meninjau keadaan Balai Polis Langgar yang ditenggelami banjir, selain menyantuni pegawai dan anggota yang bertugas di situ.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial