JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota Diingat Waspada Isu Yang Boleh Jejas Integriti - Panglima 21 GGK

05/10/2025 07:45 PM

MERSING, 5 Okt (Bernama) -- Semua peringkat pemerintah dan anggota diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan isu yang boleh menjejaskan integriti pasukan seperti buli, hutang, judi, dadah, ketum serta tidak hadir tanpa cuti (THTC), kata Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

Beliau berkata tahap kemahiran dan kefahaman terhadap operasi khas serta kemahiran kepimpinan pada semua peringkat perlu sentiasa dipertingkatkan agar Rejimen Gerak Khas dan 21 GGK kekal digeruni lawan serta disegani kawan.

“Pada masa sama, kita juga perlu memahami dan menghayati strategi domain darat dan ketenteraan negara supaya 21 GGK terus relevan dalam mendukung Aspirasi Angkatan Masa Hadapan (AMH),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Penutupan Kursus Asas Komando di Pantai Tanjung Leman, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh K. Raven Kumar dan Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan demonstrasi serbuan menyelamatkan tawanan perang, pertunjukan payung terjun, demonstrasi kombat Gerak Khas, persembahan anjing perang serta perbarisan penganugerahan beret hijau.

Ahmad Shuhaimi berkata daripada 189 penuntut yang melapor diri, hanya 48 anggota lain-lain pangkat berjaya menamatkan kursus berkenaan yang menuntut ketahanan fizikal dan mental pada tahap tertinggi selama 12 minggu, dengan kelulusan sebanyak 25.3 peratus.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa beret hijau yang anda junjung tidak boleh dicemari oleh salah laku, pelanggaran disiplin atau tindakan yang boleh menodai nama pasukan.

“Persekitaran keselamatan negara yang kompleks masa kini akan terus menguji dengan cabaran baharu yang menuntut keberanian lebih besar, kecerdasan lebih tajam dan kesetiaan yang tidak pernah goyah.

“Oleh itu, bersedialah untuk menjadi shadow before the storm dan pikullah amanah ini dengan penuh kehormatan serta tanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan