AM

Rakyat Malaysia Bangga Usaha Keras Kerajaan Pastikan Wira, Wirawati GSF Selamat

05/10/2025 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan usia menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan susulan kejayaan pembebasan 23 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini selamat berada di Istanbul, Turkiye.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri TERENGGANU Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh berkata kejayaan membawa pulang aktivis dalam kadar segera itu, pencapaian luar biasa yang memerlukan tahap kekuatan diplomasi yang tinggi.

Beliau berkata ini sekali gus membuktikan kredibiliti Perdana Menteri sebagai pemimpin yang berani, lantang dan bijak dalam menangani sebarang isu serta krisis dalam dan luar negara.

"Saya mewakili golongan belia merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan MADANI terutama Perdana Menteri dan juga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya membawa pulang rakyat Malaysia dalam kadar segera.

"Kejayaan itu bukanlah suatu yang mudah dicapai dan boleh disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana ia melibatkan rejim Zionis," katanya sambil menambah kejayaan itu pastinya memberi inspirasi kepada ramai sukarelawan lain untuk meneruskan perjuangan membela rakyat Palestin.

Di PULAU PINANG, Ahli Jawatankuasa Belia Permatang Pauh Nur Liyana Sa’idin, 23, menyifatkan kejayaan membawa pulang aktivis kemanusiaan GSF sebagai bukti kecekapan kerajaan mengurus krisis melalui diplomasi antarabangsa.

Beliau berkata usaha pantas kerajaan telah memastikan kesemua 23 aktivis kemanusiaan negara dapat pulang dengan selamat, dengan turut dibantu Wisma Putra, agensi keselamatan, barisan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan sokongan yang bekerja tanpa henti memperjuangkan keselamatan para aktivis.

Di KEDAH, Pengerusi Pertubuhan Bank Makanan Malaysia (Food Bank Malaysia) Mohd Azrul Mohd Razak, 40, turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas kejayaan dan usaha diplomatik yang cemerlang.

“Ini membuktikan betapa hebatnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara luar sehingga berjaya membawa pulang warga negara kita. Terima kasih terhadap komitmen yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh PMX dan kerajaan dalam menyuarakan solidariti terhadap perjuangan Palestin,” katanya.

Bagi Mohamad Sayuti Wan Chik, 43, pemandu e-panggilan dari Kepala Batas berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan diplomasi Malaysia pada peringkat antarabangsa selain menghargai usaha kerajaan yang berusaha membawa pulang semua peserta dengan selamat.

Di NEGERI SEMBILAN, pekerja swasta Mohd Arif Arifin, 35, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas usaha Perdana Menteri membantu pembebasan kesemua rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF.

Anak kelahiran Seremban itu berkata walaupun misi utama mereka untuk menyerahkan semua bantuan makanan termasuk ubat-ubatan kepada rakyat Palestin tidak tercapai, namun semangat juang ditunjukkan perlu dipuji.

"Mereka juga wira dan wirawati negara yang perlu dipuji serta dihargai. Bukan semua orang sanggup tinggalkan keluarga semata-mata untuk ke Gaza dan melaksanakan misi yang penuh risiko seperti ini," katanya.

Penjawat awam S. Angeline, 42, berkata tanpa usaha dan campur tangan diplomasi Perdana Menteri sudah pasti misi pembebasan kesemua rakyat Malaysia ini sukar dicapai.

"Kita dimaklumkan PM yang menghubungi kerajaan Turkiye supaya membantu membawa sekali rakyat Malaysia dari Israel, usaha itu membuktikan kerajaan Malaysia benar-benar mengambil berat untuk keluarkan rakyat Malaysia. Terima kasih Perdana Menteri atas usaha berkenaan," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Di PAHANG, pengurus sumber manusia sebuah syarikat Nurul Farhana Abdul Hamid, 37, berkata sebagai rakyat Malaysia yang mengikuti isu misi GSF, beliau bersyukur dengan pembebasan mereka yang ditahan tentera Israel, dan akan kembali ke tanah air tidak lama lagi.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata penghargaan juga harus diberikan kepada kerajaan Malaysia terutamanya Perdana Menteri atas kebijaksanaan dan hubungan diplomasi yang membolehkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia itu dibebaskan dan berada dalam keadaan selamat untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Di MELAKA, peniaga pakaian Puteri Diana Adran, 32, menyatakan rasa bangga terhadap tindakan pantas kerajaan Malaysia dalam membantu pembebasan sukarelawan itu serta bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri serta berharap misi kemanusiaan ke Gaza pada masa hadapan akan berjaya.

Di SELANGOR, mahasiswa tahun kedua Ijazah Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Mohamad Haris Sholihin, 20, turut menzahirkan rasa bangga terhadap pimpinan negara Malaysia yang terbukti sentiasa terkehadapan dalam menyuarakan isu penindasan rakyat Palestin di samping bertindak pantas untuk membela mereka yang menyertai misi GSF. 

Pekerja pembersihan Kamsiah Mat Ali, 58, turut mengucapkan syukur atas usaha tangkas dan tindakan segera kerajaan membantu peserta GSF yang ditahan di Israel serta mendoakan perjalanan pulang aktivis Malaysia selamat dan dipermudah.

“Walaupun bantuan tidak sampai kepada rakyat, sekurangnya kini dunia semakin menyokong dan dapat melihat kekejaman terhadap rakyat Palestin,” katanya. 

Sementara itu, di KELANTAN, masyarakat pelbagai kaum di negeri ini bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana berjaya berunding dan membebaskan sukarelawan rakyat Malaysia itu.

Peniaga alat ganti kenderaan berbangsa Tionghua dari Kedai Melor, Kang Sue Guan, 56, berkata kejayaan kerajaan MADANI itu bukan sahaja menggembirakan keluarga mereka, malah membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Usaha ini membuktikan bahawa Malaysia sentiasa mengutamakan kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa. Kami sebagai rakyat amat menghargai keberanian dan keprihatinan Perdana Menteri,” katanya.

Pekerja swasta dari Pauh Lima, Bachok, Nurul Hanis Mohd Hashim, 25, turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada kerajaan atas kejayaan rundingan pembebasan itu.

"PMX kita menunjukkan kepimpinan yang prihatin terhadap nasib rakyat di luar negara. Semoga segala urusan mereka dipermudah dan semua selamat pulang ke tanah air,” katanya.

Di PERAK, ahli DAP yang juga seorang peguam Ong Hui Xue, 29, berkata isu itu membabitkan hal kemanusiaan dan amat bangga dengan Perdana Menteri yang berjaya berunding secara berdiplomasi bagi pembebasan 23 aktivis berkenaan.  

"Saya rasa perundingan diplomasi antarabangsa satu perkara yang amat rumit dan kompleks, memerlukan seorang pemimpin yang matang dan berwibawa untuk mencapai apa yang dihasratkan semua rakyat Malaysia, iaitu membawa pulang aktivis GSF ke Malaysia dengan selamat," katanya.

Seorang lagi ahli DAP Mohammad Norriduan Mohamed Idrus, 37, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas usaha beliau serta kepimpinan kerajaan dalam pembebasan warga Malaysia yang ditahan Israel.

"Kejayaan kita telah capai dalam masa singkat atas usaha yang dibawa Perdana Menteri … . Ini antara usaha diplomatik yang terbaik diberikan Perdana Menteri kita untuk rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan," katanya.

Selain itu, Poon Sook Yee, 37, yang juga ahli DAP turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan atas tindakan diplomasi yang cekap itu.

Sementara itu,  pesara tentera Azizan Hassan, 57, dari Kampar, amat menghargai usaha aktivis misi kemanusian GSF dari Malaysia kerana tetap mahu memberi bantuan meskipun tahu ia berisiko.

"Mereka mempunyai niat murni untuk membantu orang Islam kita untuk menyalurkan bantuan sehingga satu tahap hampir menggadaikan nyawa mereka," katanya.

Pekerja sendiri Mior Haris Mior Abdullah, 67, juga dari Kampar turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan GSF  itu atas keberanian mengharungi cabaran getir terutama ketika ditahan pihak Israel.

"Kesemua 23 sukarelawan kita yang ditawan itu menunjukkan solidariti kita yang kuat tentang melawan bangsa Yahudi. Kalau boleh, kita kena selalu buat sebab ini menunjukkan kita berani dan dunia akan menghormati kita sebagai satu-satunya bakal pemimpin dunia Islam," katanya.

Di PERLIS,  Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Juang (Juang) Perlis Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata usaha itu membuktikan keberanian Perdana Menteri selaku ketua negara selain rundingan diplomatik yang baik bersama dengan kerajaan Turkiye dan Qatar tanpa sebarang provokasi.

"Di sini, saya mengucapkan ribuan terima kasih, syabas kepada Perdana Menteri yang kita sayangi kerana bertungkus lumus untuk menyelamatkan dan membawa pulang seluruh rakyat Malaysia yang terlibat. Saya kira ini satu keberanian luar biasa," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Teknologi Marin Lestari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis Rosnani Nazri mengucapkan terima kasih atas perjuangan semua sukarelawan yang terlibat. 

"Apabila ramai aktivis dan pempengaruh dari Malaysia mengikuti Global Sumud Flotilla saya turut berasa bangga dalam menumpang jihad mereka ke Gaza. Setiap hari saya mengikuti siaran langsung dan kemas kini daripada mereka. 

"Walaupun semua kapal ini akhirnya dipintas dan ratusan sukarelawan ditahan, secara halusnya misi mereka berjaya memecahkan tembok kesenyapan. Dunia yang lama membisu kini kembali bersuara, media antarabangsa menumpukan perhatian, dan nama Gaza kembali sohor kini pada setiap media sosial," katanya.

Suri rumah dari Kampung Abi Batas Paip di Kangar,  Zarina Ahmad, 60, yang turut kagum dengan keberanian sukarelawan Malaysia berkenaan mengharapkan misi dan perjuangan seumpama itu diteruskan demi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis sejak sekian lama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan