Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengharapkan Belanjawan 2026 dapat menyediakan bantuan kewangan segera, sokongan penting untuk modal insan serta tumpuan strategik terhadap penentududukan pasaran bagi industri sarung tangan getah.
Presiden Oon Kim Hung berkata keperluan paling mendesak adalah mengurangkan beban kewangan terkumpul, khususnya duti eksport ses, memandangkan peningkatan kos pelbagai segmen dan halangan perdagangan seperti tarif Amerika Syarikat (AS).
Ses merujuk kepada levi atau cukai ke atas produk getah, yang dikutip terutama oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi membiayai industri tersebut.
“Industri sarung tangan getah Malaysia kini bergelut dengan margin yang semakin kecil akibat peningkatan kos operasi dan persaingan global yang sengit, khususnya daripada pesaing di China dan Thailand.
“Semua tindakan itu penting untuk meningkatkan daya saing kos di peringkat global dan memastikan industri sarung tangan getah Malaysia dapat mengekalkan pertumbuhan sektor supaya ekonomi kita berkembang maju dan berprestasi mampan sepanjang 2026 dan tahun-tahun seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Pengurangan atau Gantung Sementara Ses
Oon berkata MARGMA merayu supaya kerajaan mengurangkan kadar ses semasa daripada 0.2 peratus kepada 0.1 peratus atau menggantungnya buat sementara waktu.
Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan memandangkan ketidaktentuan persekitaran ekonomi yang dihadapi industri terutamanya dengan persaingan yang semakin sengit dari China dan Thailand serta penyusutan dari segi penguasaan pasaran global.
“Bantuan ini serta-merta akan membantu pembuat tempatan daripada semua saiz termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar menangani isu kos operasi yang tinggi dan margin keuntungan yang semakin mengecil,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya menurunkan atau menggantung sementara kutipan ses bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi pengeluar sarung tangan dan pada masa sama meningkatkan daya saing Malaysia, selaras dengan usaha industri untuk menguasai semula bahagian pasaran dan menarik pelaburan semula.
“Semakan mekanisme boleh diperkenalkan untuk mengenakan semula atau menyemak kadar ses apabila industri kembali stabil dan permintaan global pulih,” katanya.
Pengeluar sarung tangan getah kini turut menghadapi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing bermula 1 Oktober, Sistem Levi Pelbagai Peringkat untuk pekerja asing, peningkatan bil utiliti dan kos pematuhan mampan, yang secara keseluruhan semuanya menyumbang kepada peningkatan kos.
Modal Insan dan Insentif Cukai
Oon turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pembukaan semula dan memperkemas proses pengambilan serta penggantian pekerja asing memandangkan modal insan merupakan pemacu penting untuk pengembangan industri itu.
Beliau berkata kekurangan tenaga kerja asing yang berlanjutan, ditambah dengan isu pekerja tidak memperbaharui kontrak atau melarikan diri, terus menjejaskan penjadualan pengeluaran dan pemenuhan pesanan untuk pengilang.
“Kami mencadangkan supaya kerajaan membuka semula dan memperkemas proses pengambilan pekerja asing untuk sektor pembuatan sarung tangan getah selain mempercepat kelulusan penggantian pekerja bagi memastikan bekalan tenaga kerja yang stabil dan mencukupi,” katanya.
MARGMA juga memohon sokongan tambahan kerajaan dalam bentuk insentif cukai, elaun pelaburan semula dan geran untuk membantu kalangan pengilang kekal berdaya saing di samping memenuhi pematuhan antarabangsa.
“Pengilang kini menghadapi peningkatan kos pematuhan dan kerumitan yang tinggi dalam memenuhi peraturan kemampan global yang baharu, yang menjejaskan margin keuntungan serta daya saing, terutama bagi PKS.
“Oleh itu, kami berharap belanjawan ini dapat membantu mengimbangi kos yang tidak dapat dielakkan ini dengan menangani isu keperluan data dan audit utama, khususnya berkaitan dengan pematuhan standard pematuhan dan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah,” katanya.
Peruntukan bagi Industri Sarung Tangan Getah
Oon berkata bagi menyokong industri sarung tangan getah Malaysia dengan berkesan dan membantunya menguasai semula bahagian pasaran global, Belanjawan 2026 perlu merangkumi peruntukan bersasar untuk meningkatkan pengaruh pasaran strategik dan usaha pengembangan perdagangan.
Beliau berkata memandangkan sarung tangan merupakan produk eksport utama getah Malaysia, pihaknya mencadangkan supaya peruntukan dana khusus untuk sektor ini diperkenalkan, termasuk kempen penjenamaan global ‘Sarung Tangan Buatan Malaysia’ yang meliputi pemasaran dipacu industri dan pensijilan penjenamaan.
“Usaha ini boleh diperluas dengan kerjasama persatuan penjagaan kesihatan antarabangsa, agensi pemerolehan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pembuatan sarung tangan yang mampan dan beretika.
“Kami percaya seharusnya ada peruntukan untuk dana yang bersasar dan berterusan bagi program latihan pekerja dalam industri sarung tangan getah, untuk menyediakan tenaga kerja bagi peranan bernilai tinggi dan khusus yang selaras dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam industri ini,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial