AM

Suriaghandi Suppiah Diumum CEO Baharu Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia

02/10/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan proses pemilihan dan penilaian bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dimuktamadkan dengan pelantikan Suriaghandi Suppiah berkuat kuasa 29 Sept.

Dalam kenyataan dikeluarkan MHTC, Dzulkefly berkata kepimpinan Suriaghandi akan memperkukuh usaha memperluas akses, menarik pesakit antarabangsa dan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi dipercayai untuk penjagaan kesihatan berkualiti dan mampu milik.

“Ekosistem industri perkhidmatan kesihatan Malaysia dilihat terus berkembang kukuh bukan sahaja pada peringkat domestik tetapi juga antarabangsa.

“Selaras dengan pelaksanaan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, kami terus komited untuk mempertingkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi utama dalam penjagaan kesihatan yang berkualiti, bertaraf dunia serta mampu milik,” katanya. 

Kenyataan itu memaklumkan kecemerlangan kerjaya Suriaghandi diperkasakan oleh kepimpinan beliau melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi, memperkukuh operasi dan memacu pertumbuhan mampan dalam pelbagai sektor. 

Antaranya, beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Penjagaan Kesihatan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memainkan peranan utama dalam merangka Strategi Pelaburan Penjagaan Kesihatan KWSP. 

Selain itu, beliau juga memegang jawatan Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara dan telah mengetuai pelbagai inisiatif reformasi serta memainkan peranan utama dalam pelaksanaan Program Pembangunan Sukan Olimpik.

Sepanjang tempoh kerjayanya, Suriaghandi memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Operasi Kumpulan di KPJ Healthcare Bhd, perunding di Vamed Healthcare Services dan Pengarah Pengurusan Hartanah di Savills Malaysia.

“Beliau juga telah menyumbangkan jasa serta khidmat bakti di Khazanah Nasional Bhd dan Parkway Group Healthcare khususnya dalam aspek pelaburan strategik, pengembangan perniagaan serta transformasi organisasi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan